Piala AFF: FAM ambil tanggungjawab penuh kegagalan Malaysia

Piala AFF: FAM ambil tanggungjawab penuh kegagalan Malaysia

KUALA LUMPUR,. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan skuad Harimau Malaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Singapura.

Dalam kenyataan pada Isnin, FAM memaklumkan Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin mengarahkan pengurusan skuad kebangsaan supaya mengemukakan laporan lengkap mengenai prestasi pasukan sepanjang kempen kejuaraan itu kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar dalam kenyataan sama berkata laporan itu akan diteliti Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan sebelum dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kelak.

Skuad kebangsaan di bawah bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe gagal melangkah ke peringkat kalah mati selepas menamatkan saingan Kumpulan B di kedudukan ketiga di belakang Indonesia dan juara bertahan Vietnam.

Malaysia yang melalui tempoh persiapan singkat dan mencabar terutama dari aspek ketersediaan pemain, memulakan kempen dengan cemerlang apabila membenam Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, namun tewas di tangan juara bertahan Vietnam 0-3 dan Indonesia 1-4.

Pencapaian mengecewakan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya yang turun beraksi sebagai naib juara edisi 2018 gagal mencapai sasaran diletakkan FAM untuk layak ke final.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )