Piala AFC: Polis tingkat kawalan keselamatan dalam dan luar stadium

Piala AFC: Polis tingkat kawalan keselamatan dalam dan luar stadium

KUALA LUMPUR,. Polis akan meningkatkan kawalan keselamatan di dalam dan luar Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sewaktu perlawanan Kejohanan Piala AFC 2022 pada 24 (hari ini), 27 dan 30 Jun ini.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar berkata penugasan polis yang melibatkan kawalan lalu lintas dan keselamatan, akan bermula pada 5 petang ini.

“Pemeriksaan akan dibuat di pintu masuk dan selepas penonton memasuki stadium.

“Petugas akan memeriksa badan dan beg bagi memastikan tiada barangan terlarang dibawa masuk seperti mercun, suar, topi keledar, laser, mancis, pemetik api, besi atau kayu, senjata seperti parang, minuman keras, payung dan tongkat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata polis akan turut memastikan kelancaran trafik dan keselamatan orang awam yang menuju ke stadium dan di sekitar lokasi perlawanan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan pengangkutan awam untuk ke stadium dan elakkan melalui jalan-jalan di sekitarnya, jika tidak bertujuan menonton perlawanan.

“Pengguna jalan raya juga tidak dibenarkan meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan masuk dan keluar stadium, dan perlulah patuh kepada arahan petugas.

“Tindakan saman dan tunda akan diambil kepada kenderaan yang menghalang lalu lintas,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penonton supaya menjaga tatasusila dan tidak membuat provokasi melampau, yang boleh mencetuskan kekacauan baik semasa atau selepas perlawanan.

Perlawanan peringkat kumpulan H dalam kejohanan itu bakal menyaksikan pertembungan antara Kuala Lumpur City FC menentang PSM Makassar esok, Tampines Rovers menentang PSM Makassar pada 27 Jun dan Kuala Lumpur City FC menentang Tampines Rovers pada 30 Jun, dengan kapasiti penonton seramai 14,000 orang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )