PFAM diminta jangan rumitkan keadaan

PFAM diminta jangan rumitkan keadaan

KUALA LUMPUR,. Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) diminta memikirkan semula pendirian mereka yang menolak cadangan pemotongan gaji susulan penularan wabak COVID-19 demi kelangsungan industri bola sepak negara.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, keengganan PFAM duduk ‘semeja’ bersama badan induk itu dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk mengadakan perbincangan, tambah merumitkan keadaan.

Menurutnya, pihaknya memerlukan persetujuan semua pemegang taruh dan tidak boleh sekadar membuat keputusan sewenang-wenangnya yang kemudiannya menimbulkan lebih banyak masalah.

“Pendirian FAM adalah kita benarkan pasukan mengadakan perbincangan mendapatkan keputusan bagi menyelesaikan masalah kewangan ini dan kita lihat cara ini juga dipersetujui MFL dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Cuma Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) ada pendiriannya yang tersendiri tetapi kalau PFAM tetap dengan pendirian mereka, saya rasa kita sukar mendapatkan jalan penyelesaian.

“Jika kita semua berbincang, sudah pasti kita dapat mencari jalan terbaik namun kita perlu ketepikan agenda peribadi di atas meja rundingan. Kita tidak perlu merumitkan keadaan dan kita boleh selesaikan secepat mungkin,” katanya.

Stuart mengulas mengenai pendekatan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), kelmarin yang menggunakan ‘kuasa veto’ apabila membenarkan pasukan membayar hanya 25 peratus gaji pemain susulan krisis COVID-19.

Terdahulu, pasukan Liga M disaran meniru pendekatan badan induk bola sepak Indonesia itu dalam menangani masalah kewangan kelab ketika penularan wabak COVID-19.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John berkata, pasukan dan pemain Liga M perlu mendapatkan langkah penyelesaian yang boleh ‘menyelamatkan’ kedua-dua belah pihak tatkala PSSI tampak sudah mengambil jalan terbaik bagi memastikan industri bola sepak di negara itu tidak terjejas teruk.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )