
Pesawah Harap Harga Lantai Belian Padi Baharu Beri Kesan Positif
JERLUN: Pesawah di negeri Kedah mengharapkan harga lantai belian padi baharu yang bakal diumumkan minggu depan dapat memberi khabar gembira dan meringankan beban mereka. Ahmad Saad, seorang pesawah berusia 73 tahun dari Ayer Hitam, berkata dia berharap harga lantai baharu dapat membantu petani menangani peningkatan kos input pertanian serta sewaan peralatan yang semakin tinggi.
“Memang kilang swasta sudah mula membeli padi pada harga sehingga RM1,500 per tan metrik, namun harga ini boleh turun pada bila-bila masa seperti yang berlaku musim lepas dan mengecewakan ramai petani,” ujarnya. Ahmad berharap harga baharu dapat dilaksanakan segera agar pesawah dapat menikmati manfaatnya ketika musim menuai yang bakal tiba.
Seorang lagi pesawah, Hamdi Ahmad, 40, dari Kampung Batas Bengkok, Sanglang, berkata jika harga lantai belian padi tidak dinaikkan, petani akan terus berdepan dengan kesukaran dan mungkin tidak dapat mewariskan tanah sawah mereka kepada generasi akan datang. “Ada yang sudah tidak mengusahakan sawah, malah menjual tanah kerana tidak lagi menguntungkan. Anak-anak muda pun sudah tidak berminat untuk mengambil alih,” katanya.
Hamdi menegaskan bahawa kenaikan harga lantai belian padi adalah amat penting, memandangkan bebanan kos semakin meningkat, termasuk harga benih, racun, serta sewa jentera dan tanah.
Mohd Shukor Mustafa, 40, pula menyatakan rasa lega dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai bantuan tunai subsidi diesel di bawah inisiatif BUDI MADANI. “Kenaikan harga diesel sangat memberi kesan kepada saya kerana saya memiliki tiga jentera. Diesel mahal tetapi hanya bertahan dua hari. Beban ini memang terasa,” katanya yang berasal dari Pida 2, Sanglang.
Pengerusi Peladang Muda, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Aswadil Khairi Che Omar pula menggesa pesawah agar terus berdoa dan berharap agar pengumuman yang dinanti-nantikan akan membawa hasil yang positif. “Kita sudah menyerahkan memorandum dan mengadakan demonstrasi, sekarang kita hanya menunggu apa yang akan diumumkan nanti,” ujarnya.
Aswadil turut mengulas mengenai peruntukan RM1 bilion untuk MADA, yang bertujuan untuk meningkatkan hasil padi sehingga 70 peratus, sambil menyatakan sokongan petani terhadap inisiatif tersebut, terutamanya dalam memperbaiki infrastruktur yang diperlukan.