Perubahan kelas gugat peluang Mohd Al Jufferi raih emas kelima Sukan SEA

KUALA LUMPUR,. Tatkala peraturan baharu menjadi igauan kem pencak silat negara menjelang Sukan SEA Hanoi di Vietnam pada Mei ini, bekas juara dunia Mohd Al Jufferi Jamari lebih memikirkan nasibnya yang bakal ‘bertempur’ dalam kelas baharu buat kali pertama selepas 12 tahun.

Malah, perubahan daripada Kelas E (65-70 kilogram (kg)) ke kelas lebih berat iaitu Kelas F (70-75 kg) itu menjadi faktor utama yang mampu menggugat peluang Mohd Al Jufferi menambah koleksi pingat emas yang dimenanginya sebelum ini.

Tanpa menceritakan secara terperinci, pemenang pingat emas empat Sukan SEA itu berkata kecederaan dialaminya sebelum ini menyaksikan beliau sukar untuk menurunkan berat badan sekali gus terpaksa akur beraksi dalam kategori baharu.

“Di sini masalah saya bukan tentang peraturan baharu tetapi tentang kelas yang telah ditukar, bukan senang untuk kita capai satu tahap atau prestasi puncak kita, selain berasa selesa dengan sesuatu kelas itu kerana Kelas F adalah kelas berat berbanding E yang lebih ringan.

“Kelas E memerlukan kelajuan, Kelas F pula memerlukan ‘power’. Untuk saya sesuaikan diri dalam jangka pendek bukan perkara mudah, jadi kali ini saya mungkin sasarkan ke final saja,” katanya pada sidang media Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil, hari ini.

Mengulas lanjut, juara dunia 2016 itu berkata beliau baru tujuh bulan berlatih dalam Kelas F dan mendapati dirinya adalah pesilat Kelas F dengan berat badan paling ringan iaitu sekitar 71 kg berbanding pencabarnya yang rata-rata memiliki berat badan lebih 74 kg.

“Dengan berat badan yang ringan, agak sukar untuk saya dapat menguasai benda-benda baharu terutama dari segi teknik kerana kalau dulu sepatutnya ia mudah untuk dilaksanakan tetapi ia jadi susah dan lebih berat,” katanya.

Sebagai rekod, pada Kejuaraan Pencak Silat Asia Tenggara 2022 di Singapura pada Februari lepas, Mohd Al Jufferi mengalami kecederaan yang memaksa beliau menarik diri daripada membuat perhitungan menentang pesilat Vietnam Vu Duc Hung pada final Kelas F.

Mohd Al Jufferi memenangi empat pingat emas Sukan SEA berturut-turut sejak 2011 di Indonesia dan mengulanginya di Myanmar pada 2013, sebelum mencipta hatrik pada Sukan SEA 2015 di Singapura dan melengkapkan rekod cemerlangnya itu pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Harapan beliau untuk meraih pingat emas kelima pada Sukan SEA 2019 di Filipina tidak kesampaian apabila kelasnya tidak dipertandingkan yang menyaksikan kem pencak silat negara membawa pulang dua pingat emas masing-masing menerusi acara tanding dan seni.

Pada Sukan SEA Hanoi bermula 12 hingga 23 Mei ini, pencak silat kembali menjadi antara jenis sukan menawarkan jumlah pingat emas tertinggi yang menyaksikan sebanyak 16 acara dipertandingkan berbanding hanya sembilan pada edisi 2019 di Filipina.

Kem pencak silat negara yang terdiri daripada 28 atlet, menyasarkan tiga pingat emas iaitu dua menerusi acara tanding dan satu bagi acara seni di Hanoi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )