Perubahan iklim lonjak isi padu tasik glasier – Kajian

Perubahan iklim lonjak isi padu tasik glasier – Kajian

PARIS,. Kajian berdasarkan data satelit mendapati isi padu tasik yang terbentuk susulan pencairan glasier di seluruh dunia akibat perubahan iklim, melonjak sebanyak 50 peratus dalam tempoh 30 tahun.

Pakar Geomorfologi di University of Calgary, Prof Madya Dan Shugar yang juga seorang penulis utama, berkata bukan semua air daripada pencairan glasier itu akan mengalir ke laut dengan serta-merta.

“Namun hingga kini, tiada data untuk menganggarkan berapa banyak ia tersimpan di dalam tasik atau air bawah tanah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, penemuan itu yang diterbitkan dalam ‘Nature Climate Change’, semalam, bakal membantu saintis dan kerajaan di serata dunia untuk mengenal pasti potensi bahaya kepada masyarakat di kawasan hilir tasik yang lazimnya tidak stabil itu.

Ia juga akan meningkatkan ketepatan anggaran kenaikan paras laut menerusi pemahaman lebih baik mengenai bagaimana dan berapa pantas air daripada pencairan glasier mengalir ke laut.

Berdasarkan kajian sebelum ini, glasier di seluruh dunia terutama di rantau pergunungan tinggi, berkurangan kira-kira 6.5 trilion tan secara besar-besaran antara 1994 hingga 2017.

Sementara itu, Profesor Iklim di Potsdam Institute for Climate Change Impact, Anders Levermann, memberitahu AFP bahawa dalam tempoh 100 tahun lalu, sebanyak 35 peratus daripada peningkatan paras laut global disumbangkan pencairan glasier.

Sumber utama lain kepada peningkatan paras laut ialah lapisan ais dan pengembangan air laut ketika panas.

Purata suhu permukaan bumi meningkat satu darjah Celsius sejak era praperindustrian, namun rantau pergunungan tinggi di serata dunia mengalami iklim lebih panas sebanyak dua kali ganda sehingga mempercepatkan pencairan glasier.

Tidak seperti tasik biasa, tasik glasier adalah tidak stabil kerana sering diliputi ais atau sedimen daripada serpihan dan batuan berstruktur longgar.

Apabila air yang terkumpul meletus menembusinya, banjir besar boleh melanda kawasan hilir.

Menurut kajian diterbitkan dalam Nature Climate Change, banjir sedemikian yang dikenali sebagai letusan tasik glasier, telah meragut ribuan nyawa pada abad lalu, selain menyebabkan kemusnahan penempatan, infrastruktur dan ternakan.

Insiden terbaru dilaporkan ialah letusan tasik glasier yang membanjiri Lembah Hunza di Pakistan pada Mei lalu.

Januari lalu, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih 3,000 tasik glasier terbentuk di rantau Hindu Kush-Himalayan, dengan 33 berupaya mendatangkan ancaman yang boleh memberi kesan terhadap tujuh juta orang.

Kajian baharu itu adalah berdasarkan 250,000 pemandangan daripada misi satelit Landsat bawah Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA).

Ia menganggarkan isi padu tasik glasier ketika ini adalah melebihi 150 kilometer kubik, bersamaan dengan satu per tiga daripada isi padu Tasik Erie di Amerika Syarikat (AS) atau dua kali ganda isi padu Tasik Geneva.

Shugar berkata, data berkenaan tidak mungkin dianalisis dan diproses pada abad lalu. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )