Permohonan Najib untuk mencelah semakan kehakiman Azilah didengar 8 Dis

Permohonan Najib untuk mencelah semakan kehakiman Azilah didengar 8 Dis

PUTRAJAYA,. Mahkamah Persekutuan menetapkan 8 Dis depan untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mencelah dalam prosiding semakan kehakiman bekas pegawai polis Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri yang ingin mengenepikan sabitan serta hukuman mati terhadapnya atas pertuduhan membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Peguam Sarah Abishegam yang mewakili bekas perdana menteri itu, ketika dihubungi berkata Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Suhaila Haron turut menetapkan tarikh sama untuk mendengar semakan kehakiman Azilah.

Sebelum ini, pendengaran kedua-dua permohonan ditetapkan pada 21 Okt namun tarikh itu dikosongkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang telah dilanjutkan sehingga 9 Nov.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azmi Mashud hadir bagi pihak pendakwaan manakala peguam J. Kuldeep Kumar mewakili Azilah.

Azilah memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman pada 5 Dis tahun lepas bersama-sama akuan berkanun setebal 32 muka surat yang mendakwa bahawa arahan untuk membunuh Altantuya adalah daripada Najib yang ketika itu menyandang jawatan sebagai timbalan perdana menteri.

Azilah, 43, meminta agar sabitan serta hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Jan 2015 diketepikan dan perintah agar kes itu dibicarakan semula.

Pada Disember tahun lepas, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan pihak media bahawa anak guamnya iaitu Najib, menyangkal semua dakwaan Azilah itu.

Azilah dan Sirul Azhar Umar, 47, telah disabitkan dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 atas pertuduhan membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam 19 Okt dan 1 pagi keesokan harinya pada 2006.

Mereka bagaimanapun telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013 selepas membenarkan rayuan kedua-dua anggota UTK itu.

Pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati mereka bersalah melakukan jenayah itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )