Perlu wujud pembaharuan selepas pasca COVID-19 – Noor Azlan

Perlu wujud pembaharuan selepas pasca COVID-19 – Noor Azlan

KUALA LUMPUR,. Satu pembaharuan diperlukan pasca COVID-19 untuk mengukuhkan pemulihan semula ekonomi Malaysia, kata Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Ini juga bagi menjamin ekonomi dapat dikukuhkan lagi berbanding sebelum ini.

“Agak sia-sia kalau kita membuat pemulihan tanpa sebarang pembaharuan. Maksudnya kalau kita pulih, berpatah balik seperti sebelum ini bererti kita melepaskan peluang untuk perubahan,” katanya dalam program Bicara Naratif oleh RTM, yang tajuknya malam ini adalah ‘Landskap Ekonomi Baharu: Bersediakah Malaysia’

Beliau berkata aspek digital, pendidikan dan kebergantungan kepada pekerja asing adalah antara isu yang perlu dilihat semula dalam pembaharuan struktur.

Oleh itu, AEC telah mengenal pasti pelan dan elemen jangka panjang yang perlu diperhatikan.

Selain itu, beliau berkata krisis penjagaan kesihatan juga memberi kesedaran mengenai kepentingan data semasa, sambil menambah bahawa AEC menggunakan data frekuensi tinggi dalam mengenal pasti aktiviti ekonomi.

“Episod ini memberi satu maklumat pengumpulan data yang amat penting,” katanya sambil menambah, sebagai contoh, data mengenai pendaftaran kenderaan dari Jabatan Pengangkutan Jalan telah dikumpulkan untuk mengukur kuasa beli rakyat Malaysia.

Pelbagai maklumat daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia juga dikumpulkan bagi mengukur perbelanjaan rakyat.

“Ini memberi gambaran apakah aktiviti ekonomi berlaku,” katanya lagi.

Beliau berkata data itu juga penting untuk mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan.

Sekarang ini, terdapat kira-kira 15 juta pekerja di pasaran buruh, tetapi hanya tujuh juta didaftarkan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial.

“Hanya beberapa juta pekerja yang mempunyai perlindungan. Dalam sektor tidak rasmi mungkin terdapat empat juta pekerja, jadi bagaimana kita hendak bantu mereka,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)