Perintah pemakaian peranti pengesanan berkuat kuasa 11 Mac

Perintah pemakaian peranti pengesanan berkuat kuasa 11 Mac

PUTRAJAYA,. Perintah pemakaian peranti pengesanan merupakan antara lima peruntukan baharu dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit) (Pindaan) 2021 yang akan berkuat kuasa pada 11 Mac ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata pemakaian peranti berteknologi tinggi berbentuk gelang itu yang bertujuan untuk mengawal pergerakan adalah diwajibkan bagi tiga kategori iaitu individu yang positif COVID-19; individu dalam siasatan (PUI) atau kontak rapat pesakit COVID-19; dan individu dalam pengawasan (PUS).

“Tempoh pemakaian peranti itu adalah dalam masa 10 hari,” katanya dalam sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini, semalam.

Dr Adham berkata penalti akan dikenakan sekiranya peranti pengesanan tersebut dimusnahkan, dirosakkan, dihilangkan atau diubah.

Selain itu, katanya peruntukan baharu yang dimasukkan dalam ordinan berkenaan ialah Seksyen 21A bagi membolehkan Ketua Pengarah Kesihatan mengeluarkan arahan secara am atau khusus kepada mana-mana individu untuk mengambil langkah bagi mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

Peruntukan baharu yang lain ialah Bahagian IV A mengenai penguatkuasaan yang memberi kuasa menjalankan siasatan dan memberi maklumat berhubung pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit, katanya.

Peruntukan baharu iaitu Seksyen 22A dalam ordinan pula membolehkan pertuduhan dibuat terhadap pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), katanya.

Peruntukan baharu iaitu Seksyen 31 pula adalah sebagai punca kuasa untuk mengenakan penalti di bawah Akta 342 bagi mana-mana kesalahan yang tidak dinyatakan di dalamnya.

Ia menetapkan sebarang perbuatan melanggar peraturan adalah suatu kesalahan dan boleh dikenakan penalti tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali, katanya.

“Tindakan undang-undang bukanlah bersifat mengadili tetapi bertujuan mencegah sekali gus menamatkan penularan jangkitan COVID-19 di negara ini,” kata Dr Adham.

Sementara itu, Takiyuddin berkata seramai 4,000 anggota daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan turut digembleng bagi membantu Polis Diraja Malaysia dalam pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Kesihatan.

“Anggota PBT dan JPJ berkuasa mengeluarkan kompaun selain memberi nasihat kepada mereka yang tidak patuh SOP. Justeru, satu garis panduan mengenai tindakan kompaun akan diberikan kepada pihak berkuasa,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )