Pereka grafik cipta karya seni pamer haiwan terancam

Pereka grafik cipta karya seni pamer haiwan terancam

 

KUALA LUMPUR,. Kesedaran mengenai haiwan terancam di Malaysia kebiasaannya diuar-uarkan dalam bentuk video, gambar, infografik dan pelbagai medium dalam berkongsi ilmu pengetahuan dan maklumat kepada masyarakat.

Namun, dek kecanggihan teknologi dan perubahan zaman yang semakin moden, siapa sangka maklumat itu kini boleh dilihat dalam bentuk papan iklan (billboard) seperti yang dipamerkan di hadapan Suria KLCC ketika ini.

Menariknya, sentuhan kerja seni itu dihasilkan oleh seorang pereka grafik muda dari sebuah syarikat pengiklanan terkenal negara menerusi projek pertamanya berskala besar selepas menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam tahun lepas.

–BERNAMA

Berkongsi kejayaan menghasilkan karya seni tu, Muaz Zainuddin, 24, berkata dia dan ahli pasukannya membuat perancangan rapi dari segi penghasilan idea, kajian populasi haiwan dan dalam masa yang sama menerapkan kesedaran rakyat tentang haiwan Malaysia yang terancam dalam bentuk dan stail ‘pop art’.

“Idea itu dihasilkan Pengurus Besar Pemasaran syarikat Nismanita Zulkifli manakala penyelidikan dan penyunting naskhah oleh Jim Yussuf Jasmy. Tugas saya pula perlu menggambarkan kesemua 12 haiwan itu untuk dipaparkan pada KLCC Snorkels (nama format papan iklan).

“Ada 12 ekor haiwan yang perlu saya siapkan dalam bentuk visual pop art yang setiap seekor haiwan mengambil masa tiga hari untuk disiapkan sebelum semuanya berjaya dilaksanakan dan dinamakan Ilustrasi Haiwan Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Jelasnya, ada beberapa perkara penting perlu dipatuhi sebelum sesuatu hasil seni boleh diiklankan seperti penggunaan bahasa yang ditetapkan Dewan Bahasa dan Pustaka, elak perkataan meleret dan pemilihan visual yang tidak melanggar undang-undang.

Muaz berkongsi kejayaan itu dalam laman Twitternya menerusi satu ciapan video sehingga tular dan berjaya menarik perhatian ribuan warga Twitter yang kagum dengan hasil karyanya dalam memberi kesedaran kepada orang awam berkenaan haiwan terancam di negara ini.

“Saya terus buat panggilan video kepada mak saya, tunjuk hasil seni yang disiapkan. Saya terlalu gembira sampai menjerit sebab tidak percaya hasil ini dipilih syarikat untuk dipamerkan. Semua ini tidak akan berjaya tanpa usaha dan doa semua pihak terlibat,” katanya yang baru tamat tempoh percubaan pada Julai dengan syarikat berkenaan.

Beliau berkata hasil seni itu akan terus dipamerkan di kawasan tumpuan pusat beli-belah ibu kota itu untuk sementara waktu sehingga terhasilnya hasil seni daripada pihak lain dan kejayaan ini akan membakar semangatnya untuk terus menghasilkan karya lebih menarik dan interaktif untuk dikongsi bersama masyarakat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )