Peranan ATM hadapi COVID-19 didokumentasi dalam buku Nation Call

Peranan ATM hadapi COVID-19 didokumentasi dalam buku Nation Call

PUTRAJAYA,. Peranan aktif 20 pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik COVID-19, boleh dibaca dalam buku ‘Nation Call – Kompilasi Laporan Penugasan Pandemik COVID-19″ yang dilancarkan hari ini.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang berkata 20 pegawai kanan ATM itu berperanan sebagai “think tank” yang turut bekerjasama dengan 22 agensi kerajaan berkepentingan bagi mencari jalan penyelesaian dan langkah yang harus diambil kerajaan ketika negara berhadapan dengan cabaran COVID-19.

“Antara sumbangan ATM mengawal COVID-19 termasuklah membantu aspek kesihatan awam seperti pengesanan kontak, corak pergerakan manusia dalam kawasan COVID-19 dan membina ‘situational awareness’,” katanya.

“Mereka berkolaborasi bagi pembentukan Joint Common Operating Picture (J-COP) untuk berkongsi maklumat bagi membantu proses membuat keputusan-keputusan kritikal.

“Semua usaha ini dilaksanakan dengan berhemah dan profesional hingga berjaya mencadangkan opsyen-opsyen penyelesaian dan diangkat untuk dipertimbang seterusnya diperakui oleh kerajaan,” katanya ketika melancarkan buku ‘Nation Call – Kompilasi Laporan Penugasan Pandemik COVID-19″ itu, di sini hari ini.

Affendi berkata 20 pegawai kanan ATM itu, yang terdiri daripada pegawai berpangkat Brig Jen dan Kol atau setaraf dengannya, merupakan peserta Kursus Ketahanan Nasional 2020 (KKN 2020) siri pertama yang bermula pada 3 Sept 2019 dan ditutup secara rasmi pada hari ini.

“Peserta bukan sahaja berjaya menjalani kursus dengan efektif malah pada waktu yang sama berjaya berkhidmat dengan cemerlang demi kepentingan negara,” katanya.

Pada majlis penutup KKN 2020 itu di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) di sini, Affendi menyampaikan sijil kepada 20 pegawai kanan ATM itu yang juga peserta KKN 2020 termasuk penulis buku “Nation Call” Brigadier Jeneral Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Hamid.

Mohd Radzi memberitahu Bernama, pasukan ATM terlibat merangka sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) di kementerian-kementerian dan pelaksanaan pelbagai peringkat Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kami mendraf, membahas SOP, menguji cuba dan menggabung data semua kementerian di bawah satu kawalan. Kami turut mencadangkan kerajaan menubuhkan tabung stabilisasi ekonomi. Kami juga mencadangkan kerajaan untuk memberi pemahaman kepada rakyat tentang new norms yang berlainan dengan gaya hidup sebelum COVID-19,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )