Peralihan dasar Malaysia tingkatkan risiko ketidaktentuan pada 2022

Peralihan dasar Malaysia tingkatkan risiko ketidaktentuan pada 2022

KUALA LUMPUR,. Peralihan dasar Malaysia daripada dasar monetari yang akomodatif dan pengembangan fiskal kepada penjimatan dan konsolidasi, meningkatkan risiko ketidaktentuan di pasaran saham pada 2022 yang dijangka berlaku pada separuh kedua tahun itu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Kenanga Research, setakat ini, keadaan adalah menggalakkan bagi pulangan pasaran saham yang positif berikutan mudah tunai masih mencukupi, manakala nilai telah dihasilkan akibat penurunan mendadak pasaran pada 2021 dan prestasi serantau yang kurang memberangsangkan.

“Bagi segala kebimbangan disebabkan banjir baru-baru ini, keputusan pendapatan suku keempat 2021 telah menunjukkan bahawa pendapatan suku keempat 2021 adalah paling rendah.

“Ia berlaku (walaupun) harga komoditi bertahan dan lonjakan dalam pembukaan semula aktiviti ekonomi (terjejas sementara akibat banjir), selain data memberangsangkan bagi petunjuk ekonomi utama yang dikeluarkan baru-baru ini,” kata firma penyelidikan itu dalam nota strategi pelaburannya hari ini.

Bagaimanapun, katanya pemangkin masih tidak mencukupi dan keadaan suram sebelum pilihan raya akan berlaku yang menjejaskan kemajuan pasaran, sekali gus menyebabkan pulangan yang tidak menyeluruh.

Meskipun banjir buruk pada pertengahan Disember dijangka memberi kesan kepada pendapatan suku keempat 2021, Kenanga Research berkata pasaran telah mengunjurkan anggaran pendapatan yang konservatif akibat impak berkaitan kawalan pergerakan.

Firma penyelidikan itu berkata beberapa isyarat menunjukkan bahawa PRU15 mungkin dilaksanakan sebelum tempoh akhir pada Julai 2023, antaranya berikutan kemenangan besar Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November, disusuli kejayaan Gabungan Parti Sarawak dalam PRN Sarawak, baru-baru ini.

Selain itu, data ekonomi yang dikeluarkan pada suku keempat 2021 menunjukkan pemulihan ekonomi yang baik pada masa ini dan dijangka mencapai sasaran pertumbuhan kerajaan iaitu pada 3.0 hingga 4.0 peratus, katanya.

“Pihak pembangkang dilihat lebih berpecah selepas Langkah Sheraton dan nampaknya tidak mungkin Pakatan Harapan, Bersatu dan Parti Pejuang Tanah Air akan bersatu semula. Akhirnya, pandemik dilihat semakin reda,” katanya.

Kenanga Research berkata situasi sedemikian dijangka mendorong pilihan raya untuk diadakan seawal suku kedua 2022.

Katanya mudah tunai masih memadai dan tiada pengetatan dijangkakan pada suku pertama 2022.

“Kami yakin pengetatan dijangka hanya berlaku selepas PRU15. Apabila Bank Negara Malaysia akhinya memperketat dengan menaikkan kadar dasar semalaman dan keperluan rizab berkanun, kami jangka ketidaktentuan pasaran akan meningkat berikutan mudah tunai yang berkurangan,” menurut firma penyelidikan itu.

Bagaimanapun, katanya bank dijangka meraih manfaat daripada pengembangan margin faedah bersih yang berkaitan dengan peningkatan kadar faedah.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )