Penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional telah disepakati secara prinsip – Annuar

Penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional telah disepakati secara prinsip – Annuar

KUALA LUMPUR,. Penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Muafakat Nasional telah disepakati secara prinsip, demikian menurut Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, sehubungan itu jawatankuasa pemandu Muafakat Nasional akan memperincikan draf piagam dan memorandum persefahaman (MoU) sedia ada antara PAS dan UMNO bagi menerima gabungan parti baharu itu.

“Proses perbincangan (pemurnian piagam dan MoU) antara semua pihak perlu dijalankan secara berperingkat. Yang penting, proses itu dilaksanakan secara semulajadi dan berperingkat dengan sesuatu keputusan (yang dibuat) biarlah semua pihak berpuas hati,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan lesen kepada beberapa penjaja di Batu Muda di sini.

Semalam, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memaklumkan secara rasmi bahawa penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional akan dimuktamadkan dalam masa terdekat dan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional yang mendukung Perikatan Nasional sebagai gabungan besar.

“Kita ada menawarkan Bersatu sertai Muafakat Nasional, hasrat itu dah disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada Presiden Bersatu,” kata Annuar yang juga Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional.

Mengulas lanjut, Annuar berkata gabungan sesuatu parti politik tidak mudah kerana pembentukan Muafakat Nasional sendiri mengambil masa lebih setahun untuk mencapai persetujuan.

“Adalah normal sebagai sebuah parti politik yang berbeza-beza (ideologi). Kita kena tunjukkan kematangan dalam politik, (ambil) pendekatan yang mengelak situasi tak harmoni,” katanya.

Muafakat Nasional merupakan pakatan kerjasama antara PAS dan UMNO dengan pembentukannya bertujuan menyatukan orang Melayu selain membentuk teras politik yang stabil.

Mengulas lanjut, Annuar berkata keutamaan kerajaan kini adalah memulihkan kembali ekonomi sebagai tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

“Jadi tak usah lihat daripada sudut parti…rakyat dan negara perlukan kerajaan yang stabil dan pemulihan ekonom. Jadi apa yang pemimpin parti perlu buat ialah cari jalan ke arah kestabilan, itu yang akan kita lakukan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pertanyaan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sama ada Muafakat Nasional akan melantik Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusinya, Annuar menjawab ketiga-tiga parti di bawah muafakat itu meraikan kewujudan bersama serta tidak timbul soal perebutan jawatan pengerusi.

“Kita dah tidak pakai sistem politik lama, sekarang kita dah migrate (berhijrah) jauh ke depan menggunakan politik yang diistilahkan politik ta’awun (bantu-membantu) dan ta’yush (hormat-menghormati).

“Konsep ta’awun iaitu daripada bergaduh kepada bekerjasama dan ta’ayush iaitu hormati prinsip co-existence (kewujudan bersama),” katanya.

Beliau berkata fahaman falsafah politik Mukriz, yang juga Presiden Penaja (interim) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), ketinggalan 20 tahun kebelakang berbanding amalan politik baharu gabungan politik Muafakat Nasional.

“Kena tiru model Muafakat Nasional, bertoleransi, tiada masalah. Tujuh kali pilihan raya kecil, calon semua dari BN, tiada lagi calon daripada PAS, tetapi PAS tetap bekerjasama dan itulah model baharu,” katanya menambah meskipun BN mempunyai kerusi paling banyak, namun perikatan itu tetap menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri dan ia selari dengan sistem politik model baharu.

“Kalau ikut model yang biasa, kena UMNO (jadi perdana menteri). Apabila tiba masanya, mungkin Bersatu akan beri pada UMNO semula untuk jadi Perdana Menteri,” katanya. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)