Penurunan had umur belia percepat kematangan mereka – Pakar
KUALA LUMPUR,. Hampir empat tahun diluluskan oleh Parlimen, akhirnya kerajaan mengumumkan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta A1602) yang antara lain menetapkan had umur belia pada 30 tahun, akan dikuatkuasakan bermula 1 Jan 2026.
Dibentangkan pada 2019 oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selaku Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Rang Undang-Undang Akta Pertubuhan Belia bagi meminda Akta Pertubuhan Belia 2007 diluluskan oleh Parlimen pada tahun sama, namun “terperuk” disebabkan oleh bantahan pelbagai organisasi belia negara.
Mereka membantah, antara lain kerana had usia diturunkan daripada 40 tahun kepada 30 tahun, bukan 35 tahun seperti cadangan asal. Menurut mereka, pindaan itu berpotensi menjejaskan pengurusan organisasi.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ketika mengumumkan pewartaan akta berkenaan pada 23 Nov lepas, berkata akta itu turut melibatkan penetapan had umur ketua ataupun pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 tahun, dan mengehadkan tempoh memegang jawatan ketua pertubuhan belia kepada hanya empat tahun.
PELBAGAI FAKTOR
Jika dibandingkan dengan negara lain, Malaysia memberikan tempoh yang agak panjang untuk seseorang berstatus belia, iaitu dari usia 15 hingga 40 tahun. Indonesia misalnya, menetapkan golongan belia sebagai mereka yang berusia 16 hingga 30 tahun, Filipina (15 hingga 30 tahun), Thailand (15 hingga 24 tahun) dan Australia mengkategorikan belia bagi kelompok usia 12 hingga 24 tahun.
Mengambil kira situasi di negara tetangga dan serantau, pakar dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan berpendapat memang sudah tiba masa Akta A1602 dikuatkuasakan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) Mohammad Rizan Hassan melihat takrifan baharu mereka yang bergelar belia itu adalah satu tindakan memperkasa golongan berkenaan, bersesuaian dengan perubahan dan perkembangan semasa di arena antarabangsa.
“Perubahan had umur tersebut tidak membawa apa-apa implikasi langsung terhadap struktur dan bentuk masyarakat tetapi dapat memberi kesan kepada program pembangunan belia dan pertubuhan belia,” katanya kepada Bernama.
Menurut beliau, di bawah era Malaysia MADANI sekarang, golongan belia menaruh harapan untuk melihat perubahan yang lebih baik, terutama yang berkait rapat dengan mereka.
Justeru, pewartaan pindaan had umur belia ini membolehkan program pembangunan belia dirancang mengikut had usia baharu dengan mengambil kira pandangan mereka yang menjadi kelompok sasaran.
“Mereka cukup teruja melihat impak lebih positif dalam pembangunan negara umumnya dan pembangunan komuniti setempat khususnya. Mereka juga cukup ghairah dalam membincangkan perkara-perkara yang menjadi dasar kerajaan baharu menerusi pelbagai medium perantara khususnya media sosial.
“Justeru, pengaruh dan pandangan golongan belia tidak lagi boleh dipandang remeh. Setiap perkara yang diketengahkan mereka perlu diteliti, diperhalusi dan dinilai dengan bijaksana,” katanya.
PEMBANGUNAN BIMBINGAN BELIA
Mengulas lanjut, aktivis belia itu menyarankan program pembangunan dibahagikan kepada tiga peringkat, iaitu program yang menumpukan pada keseluruhan belia, program kepimpinan belia berpersatuan bagi usia 20 hingga 30 tahun, dan program bimbingan untuk melahirkan pekerja profesional buat mereka yang berumur 20 tahun ke atas.
Mohammad Rizan berkata tidak seperti negara maju, Malaysia terlepas pandang tentang kepentingan peranan “pekerja muda profesional” sebagai pelengkap pembangunan belia.
“Negara maju memberikan kebebasan kepada mereka yang terlibat membangunkan bakat dan potensi belia untuk turut menyumbang, iaitu kelompok yang digelar ‘pekerja muda profesional’ ini membina hubungan sokongan dengan golongan muda.
“Hubungan ini membantu mereka mengembangkan keyakinan, empati dan kemahiran sosial. Mereka juga mengajar orang muda untuk percaya pada diri sendiri dan bahawa mereka boleh membuat sumbangan penting kepada masyarakat. Apabila golongan muda memahami perkara ini, mereka mungkin menjadi lebih bermotivasi untuk mencapai potensi mereka,” katanya.
Beliau turut mengesyorkan agar kerajaan menggubal dua dasar dalam pembangunan belia, iaitu dasar remaja bagi kumpulan 13 hingga 18 tahun dan dasar belia melibatkan individu berusia 18 hingga 30 tahun.
“Menerusi dasar remaja, kita akan menyaksikan persatuan belia berdaftar yang berpaksikan sekolah, sekali gus membolehkan pelaksanaan program pembangunan belia yang lebih dinamik dan holistik,” jelas beliau.
PELUANG AWAL
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Hindu Malaysia (HYO) S. Ananthan menyifatkan pewartaan Akta A1602 sebagai perkembangan positif kerana bakal memberi peluang yang lebih awal kepada generasi muda untuk terlibat dalam komuniti.
“Penurunan had umur ini juga boleh dianggap sebagai pengiktirafan terhadap peranan belia dalam pembentukan masyarakat dan negara dengan memberikan hak-hak kepada belia pada usia yang lebih muda, pentingnya suara dan sumbangan mereka dalam proses membuat keputusan dan pembangunan negara.
“Sebagai pemimpin yang mempertahankan dan memperjuangkan hak belia, saya juga akan berusaha memastikan penurunan had umur ini disertai sokongan dan peluang yang mencukupi bagi membantu belia dalam peralihan mereka ke alam dewasa.
“Ini termasuk sokongan berpersatuan, kepimpinan, pendidikan, latihan pekerjaan, dan rangsangan untuk terlibat dalam masyarakat secara positif,” katanya.
Anathan berkata perancangan yang dinamik dan menyeluruh harus dimulakan sekarang agar keputusan kerajaan itu dapat disahut oleh semua pihak.
Ditanya tentang kewajaran had umur terbabit, beliau berkata langkah itu dapat membantu golongan muda bermula lebih awal dalam mempersiap diri menyertai masyarakat umum.
“Mereka dapat membina kemahiran hidup lebih awal, dan menyesuaikan diri dengan realiti pekerjaan semasa, sekali gus menyokong perkembangan ekonomi dan sosial,” jelasnya.
“Pindaan ini juga memperkasa belia dalam pembuatan keputusan dengan memberikan hak dan tanggungjawab yang lebih awal kepada mereka untuk membuat keputusan, sama ada dalam politik, masyarakat atau sektor lain. Secara langsung nilai kepimpinan belia dapat dipupuk pada usia yang lebih muda,” tambah beliau.
Pada masa sama, Anathan berkata kerajaan juga perlu menyediakan infrastruktur yang mencukupi seperti pendidikan, latihan dan peluang pekerjaan untuk menyokong belia dalam tempoh peralihan mereka ke alam dewasa.
“Program yang dilaksana perlu dibuat secara teliti dengan mengambil kira impak jangka panjang dan kesannya terhadap pembangunan negara,” kata beliau.
PERCEPAT KEMATANGAN BELIA
Sementara itu, pensyarah Pendidikan Pengembangan (Pembangunan Belia), Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohd Mursyid Arshad berkata penurunan had umur belia itu dapat mempercepat kematangan mereka dalam institusi sosial.
Katanya, ini sekali gus dapat merapatkan jurang antara generasi muda dan dewasa, selain menggalakkan jalinan keserakanan atau partnership antara belia dan golongan dewasa dalam sistem sosial.
“Kategori had umur ini dapat membantu kerajaan dan pihak berkepentingan dalam pembangunan belia untuk mendekati golongan tersebut secara lebih inklusif, yang secara tidak langsung dapat mempercepat pembinaan identiti golongan belia selain melahirkan lebih ramai pemimpin muda sebagai kesinambungan kepimpinan negara pada masa depan.
“Penurunan had umur belia ini mewujudkan suasana yang lebih sistematik bagi proses transisi generasi muda menjadi golongan dewasa, sekali gus mengurangkan penglibatan belia dalam aktiviti yang berisiko,” katanya.
Beliau turut mengesyorkan had umur belia 15 hingga 30 tahun dipecahkan kepada tiga kategori, iaitu belia awal (15 hingga 18 tahun), belia pertengahan (15 hingga 24 tahun) dan belia akhir (25 hingga 30 tahun).
Katanya, berdasarkan statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, kelompok belia berusia 15 hingga 30 tahun berjumlah 9.1 juta orang atau 27.8 peratus daripada keseluruhan populasi negara, sekali gus memerlukan usaha semua pihak untuk memperkasakan mereka dalam konteks sosial, ekonomi, teknologi dan persekitaran.
Langkah ini juga katanya selari dengan usaha kerajaan untuk memperkasa sistem sosial dan menjamin pertumbuhan ekonomi.
Pada masa sama, Mohd Mursyid berkata banyak tuntutan golongan itu yang perlu didengari oleh pihak berwajib, misalnya berhubung kos sara hidup, peluang pekerjaan serta kadar upah.
“Mereka turut menuntut hak memiliki kediaman selain akses kepada pendidikan yang lebih berkualiti,” kata beliau, menambah kesemua aspek itu adalah satu keperluan dalam usaha menjadikan belia rakan pembangunan negara.
epada dewasa muda, iaitu mereka yang berusia 31 hingga 40 tahun.
— BERNAMA