Pentadbiran Muhyiddin berjaya bawa kebersamaan antara kerajaan dengan rakyat – Mohd Khairuddin
KUALA LUMPUR,. Pentadbiran di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berjaya membawa kebersamaan antara kerajaan dengan rakyat walaupun dalam tempoh masa yang singkat iaitu 100 hari, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Sebagai contoh, beliau berkata terma seperti “Makcik Kiah” yang digunakan sebagai analog dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) telah menunjukkan jiwa kerakyataan kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin.
“Selain daripada terma-terma yang boleh memperkasakan rakyat, pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan juga boleh membantu melonjakkan perniagaan dan merangsangkan ekonomi negara,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘100 Hari Pentadbiran Tan Sri Muhyiddin’ terbitan Bernama TV, semalam.
Pada 27 Mac lepas, kerajaan telah mengumumkan pakej PRIHATIN bernilai RM250 billion untuk membantu rakyat menghadapi kesan pandemik COVID-19 yang kemudiannya disusuli pengenalan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN Tambahan) bernilai RM10 bilion pada 6 April yang bertujuan membantu meringankan beban kewangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Manakala pada 5 Jun, kerajaan telah memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan 40 inisiatif bernilai RM35 bilion bagi menangani kesan daripada penularan pandemik tersebut.
Mohd Khairuddin berkata dengan suntikan tersebut beliau yakin dana yang diberikan kepada rakyat akan dapat memulihkan ekonomi negara.
“Konsep kerajaan memberikan dana kepada rakyat adalah supaya mereka ada wang tunai di tangan untuk berbelanja, dan akhirnya ekonomi boleh hidup balik,” katanya.
Menurutnya, apa yang rakyat inginkan pada hari ini adalah kehidupan yang tenang, aman, selamat, bahagia dan cukup makan.
“Itulah yang rakyat mahukan di mana-mana negara, dan itulah yang apa kerajaan sedang bagi, iaitu menerusi jaminan keselamatan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac,” katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha berpendapat PENJANA boleh menjadi pemangkin kepada anak muda di Malaysia untuk menerokai bidang baharu, contohnya, ekonomi gig.
“Orang kata COVID-19 sebenarnya adalah ‘game-changer’ (pembawa perubahan) yang mempercepatkan anak muda ‘utilise’ (menggunakan) Internet,” katanya dalam program yang sama.
Sebelum ini, Jufitri berkata, kebanyakan belia menggunakan Internet hanya untuk berkomunikasi tanpa meneroka bidang perniagaan ataupun menggunakannya untuk menambahkan pendapatan.
“Pengumuman PENJANA untuk bantu ekonomi gig merupakan sesuatu yang amat melegakan anak muda, dan mereka rasa inilah yang ditunggu-tunggukan,” katanya.
–BERNAMA