Penjawat awam diseru bawa perubahan kembalikan Malaysia ke tahap gemilang

Penjawat awam diseru bawa perubahan kembalikan Malaysia ke tahap gemilang

PUTRAJAYA,. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta penjawat awam bekerjasama dengan kepimpinan kerajaan bagi membawa perubahan agar negara kembali ke zaman kegemilangannya.

Pada perjumpaan pertamanya bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini selepas dilantik sebagai perdana menteri pada 24 Nov, Anwar berkata penjawat awam perlu membawa semangat islah iaitu perubahan ke arah kebaikan demi negara.

Beliau berkata reformasi adalah satu permulaan untuk negara yang memerlukan perubahan kerana negara pernah mencapai tahap tertentu tetapi malangnya telah merosot baik dari segi ekonomi, kestabilan atau disiplinnya.

“Kita tidak mungkin berjaya sekiranya tonggak perkhidmatan awam tidak sepenuhnya bersama saya,” katanya.

Anwar berkata perkhidmatan awam adalah tonggak kepada negara dan ia tidak akan berubah meskipun kerajaan atau perdana menteri telah bertukar ganti.

“Pimpinan silih berganti namun penjawat awam kekal dengan maksud mereka mengangkat sistem dan peraturan negara dengan tegak dan hukumnya,” katanya berdasarkan pengalamannya sebagai menteri kewangan, beliau tidak mungkin berjaya tanpa tonggak perkhidmatan yang membantu.

Sehubungan itu, beliau mahu semua menteri yang akan dilantik dalam Kabinet untuk mendengar pandangan daripada penjawat awam di kementerian masing-masing.

“Kalau ada cadangan balas atau teguran (daripada menteri) hanya (dilakukan) setelah dengar pandangan mereka… kepintaran kita, kecekalan kita, minat kita tidak akan sama dengan pengalaman mereka (penjawat awam),” katanya yang menambah barisan Kabinet akan diumumkan tidak lama lagi.

Anwar turut memuji komitmen penjawat awam seperti yang ditunjukkan pada mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara pada Ahad lepas apabila semua hadir dengan persiapan lengkap.
“Saya dalam pertemuan itu sangat gembira, kehadiran penuh dan persiapan teliti. Ini perlu kita kembangkan dan jangan kita izinkan sedikit kalangan untuk merosak imej dan kekuatan penjawat awam,” katanya.

Anwar berkata beliau juga akan turun ke jabatan dan kementerian untuk mendapatkan nasihat serta pandangan daripada semua penjawat awam.

“Hanya dengan ini kita dianggap sebagai satu keluarga yang bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )