Peniaga rugi RM130,130 diperdaya Macau Scam

Peniaga rugi RM130,130 diperdaya Macau Scam

LABUAN,. Seorang peniaga menanggung kerugian RM130,130 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai polis dan pegawai mahkamah.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian itu berlaku pada 30 April lalu apabila mangsa lelaki berusia 30 tahun dihubungi oleh dua lelaki yang mengaku sebagai anggota polis dan pegawai mahkamah.

“Suspek kemudian memaklumkan mahu membuat pemeriksaan jumlah wang yang ada di dalam mana-mana akaun bank dan meminta nombor akaun serta nombor kad bank milik mangsa.

“Mangsa yang mempercayainya telah membuat pemindahan wang ke lima akaun yang diberi iaitu dua akaun BSN, dua akaun CIMB Bank dan satu akaun Maybank atas nama yang berlainan, ” katanya dalam satu kenyataan.

Muhamad Farid berkata, mangsa membuat 19 kali transaksi dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM130,130.

“Mangsa yang berasa ditipu kemudian datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan untuk membuat laporan pada 1 Mei lalu.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Pihak PDRM menegaskan agar orang awam tidak panik apabila menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai agensi penguatkuasaan. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )