Peniaga ‘rambo’, ganggu laluan pengunjung

Peniaga ‘rambo’, ganggu laluan pengunjung

KUALA LUMPUR,. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah menempatkan sembilan penjaja termasuk penyewa basikal di satu tapak khas di hadapan pintu masuk Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, peningkatan pengunjung menyebabkan lebih ramai penjaja cuba untuk berniaga di kawasan sekitar sehingga menyebabkan gangguan trafik serta kebersihan.

“Yang ditularkan itu kebanyakanya ‘rambo’ iaitu penjaja dan penyewa basikal.

“Mereka ini bukan hanya mengganggu trafik dan pengunjung tetapi turut mencemarkan kebersihan,” katanya kepada Wilayahku pada Rabu.

Menurut Nor Hisham, peningkatan peniaga itu mendorong pihaknya mengambil tindakan pantas termasuk bercadang memindahkan nurseri landskap di bahagian tepi Taman Tasik Titiwangsa bagi memberi laluan kepada penjaja dan penyewa basikal untuk menjalankan operasi perniagaan.

Jelasnya, perkara itu juga sudah dibincangkan dalam mesyuarat pasca Kabinet.

Mengulas tentang insiden kekasaran penguatkuasa DBKL terhadap penjaja pula, ujar Nor Hisham, tindakan tegas terpaksa dilakukan kerana peniaga tersebut berdegil selepas amaran dikeluarkan.

“Pada hari kejadian, semasa penguatkuasa DBKL membuat rondaan harian, penjaja serta pengusaha basikal yang menjalankan perniagaan tanpa kebenaran di kawasan sekitar menghentikan operasi.

“Kesemua mereka akur dengan arahan untuk mengemas peralatan dan beredar kecuali penjaja terbabit yang hanya berpura-pura mengemas serta menunggu kenderaan tiba namun tidak menunjukkan tanda-tanda untuk beredar.

“Susulan itu, penguakuasa menghampiri semula dan memaklumkan bahawa tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan jika masih gaggal beredar,” katanya.

Nor Hisham menegaskan, tindakan menyita meja terpaksa diteruskan tetapi tiada sitaan terhadap barangan jualan milik penjaja tersebut dilakukan.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa mengambil maklum insiden berkenaan yang tular di media sosial. Beliau dalam ciapan di Twitter menyatakan, di Kuala Lumpur, tugas penguatkuasaan adalah amat penting dan perlu dihormati oleh semua.

“Namun penting adanya kebijaksanaan. Selepas saya mendapat ‘feedback’ DBKL nanti, Insyaallah saya akan ke Tasik Titiwangsa untuk memahami situasi dan mencari jalan penyelesaian yang sesuai,” katanya.

Baru-baru ini satu video yang mengaitkan tindakan anggota penguatkuasa DBKL melakukan kekasaran terhadap penjaja di Taman Tasik Titiwangsa pada Sabtu (8 Ogos) tular di media sosial. – OLEH AINI MAWAWI – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )