Peniaga didenda RM4,000 jual Anroid TV Box tidak diperakui MCMC

KUALA LUMPUR,. Seorang peniaga didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menjual kelengkapan komunikasi tidak diperakui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Hakim M.M Edwin Paramjothy turut memerintahkan Khor Ooi Heong, 42, selaku Orang Kena Saman (OKS) dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda itu. Lelaki itu membayar denda berkenaan.

Khor didakwa menjual tiga unit Android TV Box jenama Tian Mau yang tidak diperakui oleh Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 di Menara Uncang Emas di sini, pada 11.40 pagi, 9 Julai 2020.

Tertuduh didakwa di bawah Peraturan-Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dibaca bersama Peraturan 16 (3) peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 peraturan sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Khor yang tidak diwakili peguam merayu denda yang rendah dengan alasan dia mempunyai tanggungan isteri serta anak pertamanya mempunyai penyakit kanser mata selain memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

Pegawai Pendakwa dari MCMC Nur Nazhzilah Mohammad Hashim memohon hukuman setimpal bersifat pengajaran terhadap OKS dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )