Pengukuhan ringgit beri kelebihan kepada sektor pengguna, reit dan perladangan di Bursa Malaysia
KUALA LUMPUR,. Pengukuhan nilai ringgit akan memberi kelebihan kepada kaunter-kaunter pengguna memandangkan kos import bahan mentah menjadi lebih rendah dan margin yang lebih baik, menurut Bursa Malaysia Bhd.
Dalam hantaran di laman X hari ini, ia berkata, ini telah menyebabkan sektor produk dan perkhidmatan pengguna di bursa tempatan berkembang 1.0 peratus minggu lepas, diikuti oleh REIT dengan 0.3 peratus dan sektor perladangan dengan 0.2 peratus.
Sementara itu, dalam laporan Prestasi Dagangan dan Aliran Dana Minggu Berakhir 27 Sept, Bursa Malaysia berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), menurun daripada kenaikannya untuk ditutup rendah sedikit kepada 1,660.09 mata, terutamanya disebabkan aktiviti pengambilan untung secara meluas.
“Kejatuhan itu juga sejajar dengan prestasi rakan serantaunya,” katanya.
Bursa Malaysia berkata, bursa saham di Asia Tenggara kebanyakannya ditutup rendah minggu lepas, dengan hanya dua daripada enam bursa ditutup tinggi.
Ia berkata, Indeks PSEi Bursa Saham Filipina (PCOMP) mencatatkan kenaikan terbesar dalam kalangan rakan di Asia Tenggara apabila meningkat 2.4 peratus dan menjadi satu-satunya negara yang menyaksikan aliran masuk asing (US$190.42 juta) pada minggu itu .
“Secara keseluruhannya, permodalan pasaran (Bursa Malaysia) menyederhana dan ditutup 0.2 peratus lebih rendah kepada RM2.051 trilion, disebabkan penurunan pasaran yang meluas di mana 10 daripada 13 indeks sektor lebih rendah pada asas minggu ke minggu,” katanya.
Sementara itu, pasaran sedang pesat membangun, bagaimanapun, berkembang lagi minggu lepas, terutamanya didorong oleh pasaran China selepas mengalami kenaikan mingguan terbesar mereka sejak 2008.
Bursa itu berkata, kedua-dua Indeks Komposit Shanghai dan Indeks Komposit Shenzhen muncul mencatatkan prestasi terbaik dalam kalangan rakan setara Asia mereka, masing-masing ditutup lebih tinggi sebanyak 12.8 peratus dan 16.3 peratus.
Minggu lalu, Bank Pusat China melancarkan pakej langkah rangsangan monetari yang besar dalam usaha memulihkan ekonominya. Langkah-langkah rangsangan ini termasuk suntikan 800 bilion yuan ke dalam pasaran saham negara untuk meningkatkan kecairan, serta rancangan untuk mewujudkan dana penstabilan pasaran saham.
“Selain itu, Bank pusat negara berkenaan menurunkan kadar faedah utamanya, mengurangkan kadar repo berbalik tujuh harinya sebanyak 0.2 mata peratusan kepada 1.5 peratus dan mengurangkan nisbah keperluan rizab (RRR) institusi kewangan sebanyak 0.5 mata peratusan.
“Secara keseluruhannya, enam daripada sepuluh bursa saham Asia yang diperhatikan ditutup lebih tinggi minggu lepas, manakala Pasaran Pesat Membangun (EM) MSCI ditutup 6.2 peratus lebih tinggi,” tambah Bursa Malaysia.
–BERNAMA