Pengintegrasian Ilmu Naqli dan Aqli Dalam Pendidikan Satu Keperluan

Pengintegrasian Ilmu Naqli dan Aqli Dalam Pendidikan Satu Keperluan

Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Profesor dr Mohd Aderi Che Noh

Tinjauan sejarah memaparkan bahawa Pendidikan Islam dilihat kurang menekankan kaedah pemikiran saintifik dalam memahami sesuatu kebenaran dalam pedagogi pembelajaran. Pendekatan Naqli berasaskan wahyu dan pendekatan Aqli yang rasional sering diketengahkan sebagai dua pendekatan yang terpisah dan kadangkala bertentangan.

Dakwaan ini amat berbeza dengan hakikat bahawa dalam tradisi Islam, kaedah berfikir amat luas digunakan dalam pelbagai bidang keagamaan dan disiplin ilmu. Mahyuddin dan rakan-rakan (2018) menjelaskan bahawa kerangka konsep integrasi ilmu Aqli dan Naqli dalam pembinaan peradaban Islam adalah berdasarkan pandangan Imam Ghazali (2014) dalam kitab Ihya’Ulumuddin.

Penekanan dalam ilmu Mantiq sebagai ilmu adalah sangat penting dalam Pendidikan Islam. Begitu juga kaedah berfikir yang tertanam dalam disiplin ilmu seperti Ilmu Kalam dan Usul Fiqh.

Kecelaruan dalam pendidikan yang bertunjangkan fahaman sekularisme telah mengakibatkan kekeliruan terhadap tata susunan ilmu dan kehilangan tujuan pencapaian ilmu dalam kehidupan.

Natijahnya, manusia semakin jauh menyimpang daripada hakikat sebenar pendidikan, semakin luntur akhlak dan budi pekerti, serta semakin jahil dalam pertimbangan amar makruf, nahi mungkar.

Zetty Nurzuliana Rashed dan rakan-rakan (2019) berpendapat, pendidikan yang sepatutnya membawa insan untuk lebih kenal akan Pencipta kini telah hilang fungsi teologinya, sebaliknya lebih ke arah memenuhi keperluan tenaga kerja dan sumber manusia.

Hal ini menunjukkan bahawa perlu diberikan penekanan terhadap keseimbangan di antara kaedah Aqliah dengan Naqliah yang digunakan dalam kurikulum Pendidikan Islam hari ini. Dengan pengintegrasian ilmu dalam pendidikan dapat mengukuhkan lagi keimanan dan ketakwaan disamping meningkatkan amalan dalam kehidupan.

Pendidikan Islam

Kajian oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 2015 mendapati, pergantungan guru-guru Pendidikan Islam kepada kaedah syarahan yang bersifat satu arah telah menjadikan pengajaran dan pembelajaran kurang berkesan.

Guru-guru Pendidikan Islam juga menghadapi masalah untuk melaksanakan pendekatan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi dalam pengajaran mereka. Hal ini diperkukuhkan melalui kajian Zetty Nurzuliana dan rakan-rakan (2019) yang mendapati, guru Pendidikan Islam masih kabur dalam mengamalkan integrasi ilmu di dalam pengajaran mereka.

Satu daripada cabaran yang dihadapi oleh aliran pendidikan Islam hari ini adalah saingan daripada falsafah dan sains moden yang menggunakan kaedah saintifik, empirikal dan rasional. Pendekatan ini kadangkala mempertikaikan kebenaran agama yang berasaskan al-Quran dan hadis.

Pendidikan Islam pula dilihat kurang menekankan aspek kaedah pemikiran saintifik dalam memahami sesuatu kebenaran dalam pedagogi pembelajaran. Pendekatan ilmu Naqli yang berasaskan wahyu perlu ditekankan seperti di dalam ilmu Mantiq sebagai ilmu alat yang penting dalam pendidikan Islam.

Begitu juga kaedah berfikir yang tertanam dalam disiplin ilmu penting Islam seperti bidang Fiqh dalam proses mengeluarkan hukum. Di samping itu, konsistensi berfikir dalam mengeluarkan hukum juga amat ditekankan.

Pelaksanaan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli

Berdasarkan kajian di atas, penulis cuba memfokus aspek keseimbangan kaedah Naqli dan Aqli yang digunakan dalam kurikulum Pendidikan Islam hari ini serta cadangan penambahbaikan yang dapat dilakukan oleh pihak berwajib.

Pelaksanaan elemen Naqli dan Aqli dalam bidang Pendidikan Islam bermaksud mengintegrasi wahyu dan hadis serta logika dalam pengajaran dan pembelajaran melalui penghayatan ilmu terhadap kurikulum yang dipelajari.

Perbincangan mengenai integrasi ilmu ini adalah berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah Pendidikan Islam yang berfokus kepada aspek ilmu, amali, amalan, penghayatan dan pembudayaan.

Pertama, ilmu bermaksud isi kandungan ilmu yang ditentukan di dalam Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran. Contohnya, tajuk solat mengandungi fakta tentang hukum solat, syarat wajib, syarat sah solat, rukun solat dan sabagainya. Justeru, di dalam penerapan ilmu Aqli dan Naqli guru perlu menyampaikan isi kandungan atau fakta secara teori dan praktikal kepada murid.

Kedua, amali bermaksud guru melaksanakan secara amali teori-teori yang dipelajari. Contohnya, setelah murid diajar secara teori tentang sujud, murid diminta melaksanakannya secara amali bagi memastikan kefahaman yang betul tentang sesuatu teori. Guru berperanan membetulkan gerakan solat murid sekiranya ada kesilapan semasa melakukannya.

Ketiga, amalan bermaksud mengamalkan ilmu yang dipelajari dalam kehidupan harian. Misalnya, setelah mempelajari tentang teori solat dan melaksanakan secara amali, murid hendaklah dibimbing agar mengamalkan solat dalam kehidupan harian. Guru perlu sentiasa mengingatkan murid akan kewajipan menunaikannya dengan menyediakan senarai semak bagi memantau murid melaksanakannya setiap hari. Tanggungjawab ini turut dipikul oleh ibu bapa yang perlu memantau dan mengajak anak-anak bersolat.

Keempat, penghayatan bermaksud menghayati kesan dan pengajaran daripada amalan-amalan yang dilaksanakan. Contohnya, matlamat pensyariatan solat adalah bagi mencegah daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. Justeru, guru perlu mengingatkan murid bahawa pelaksanaan solat mampu menjauhkan mereka daripada perkara negatif. Dengan demikian, guru dapat melahirkan generasi rabbani iaitu generasi yang taat serta mengikuti semua petunjuk Allah SWT.

Kelima, pembudayaan bertujuan menjadikan amalan-amalan baik secara individu sebagai amalan yang dilaksanakan secara berjemaah. Contohnya, amalan melaksanakan solat dijadikan amalan semua warga sekolah, akhirnya akan wujud budaya solat berjemaah di sekolah serta dalam masyarakat.

Penerapan Ilmu Naqli dan Aqli

Penerapan ilmu Naqli dan Aqli sangat penting agar generasi muda dapat menghayati agama Islam dengan berkesan. Hasilnya, murid dapat mengamalkan pengetahuan di dalam kehidupan seharian mereka.

Pandangan ini diharapkan agar dalil Naqli dan Aqli dapat dimasukkan dalam buku teks pendidikan Islam. Penyepaduan ilmu tersebut secara sistematik dapat menarik perhatian murid untuk terus kekal di dalam kelas.

Elemen pembelajaran tersebut perlu disebarluaskan dalam bentuk visual agar mudah difahami dan digabung jalin dalam setiap subjek ke dalam satu mata pelajaran. Murid digalakkan untuk menghafal al-Quran yang sesuai dengan tajuk yang akan dipelajari. Dengan penguasaan al-Quran, guru dapat memupuk rasa ingin mendalami maksud kandungan al-Quran.

Gabung jalin dalam setiap subjek ke dalam satu mata pelajaran perlu dibudayakan di dalam lingkungan pembelajaran guru di sekolah. Setiap isi pelajaran yang diajar perlu ada dalil Naqli dan Aqli dalam semua mata pelajaran.

Namun, perlu juga mengambil kira kebolehan murid dengan melakukan perbincangan secara kerap melalui pembacaan ayat-ayat al-Quran yang sesuai pada persekitaran mereka dan dijelaskan dengan mudah dan ringkas.

Selain itu, pelajar diterapkan dengan nilai-nilai murni sejak dari awal persekolahan. Guru juga boleh menggunakan soalan yang mudah difahami dengan sekali baca sahaja. Guru perlu sentiasa prihatin dengan situasi murid dalam pengajaran dan pembelajaran, disamping memotivasi murid untuk memahami al-Quran dan as-Sunah agar ilmu yang diperoleh seimbang dari segi Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek.

–BERNAMA

Dr Mohd Aderi Che Noh merupakan Profesor di Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )