Penghuni PPR tidak perlu bayar sewa 6 bulan

Penghuni PPR tidak perlu bayar sewa 6 bulan

PUTRAJAYA,. Keperitan ditanggung golongan B40 yang menghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sepanjang wabak Covid-19 ini mendapat perhatian apabila kerajaan melanjutkan pengecualian bayaran sewa dari sebulan kepada enam bulan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengecualiaan itu melibatkan 3,636 unit PPR disewa atau transit di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kos RM3 juta ditanggung kerajaan.

“Bagi unit sewa untuk milik pula, penangguhan pembayaran bulanan diberikan selama enam bulan bagi pembayaran balik pembiayaan bermula bulan April hingga September 2020.

“Penangguhan pembayaran ini melibatkan kos RM5.7 juta bagi 4,649 unit rumah,” kata beliau ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) hari ini.

Perdana Menteri berkata, bagi Perumahan Awam pula, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memberi pengecualian yang sama yang memanfaatkan lebih 40,000 penyewa.

“Saya menyeru kepada Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan lain supaya memberikan pengecualian yang sama bagi meringankan beban penghuni PPR di negeri masing-masing.

“Kerajaan juga bersetuju memberikan pengecualian sewaan selama enam bulan untuk semua premis milik Kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria, kedai serbaneka dan lain-lain.

“Ini termasuk semua premis milik agensi dan badan berkanun Kerajaan Persekutuan. Saya juga menggesa agar Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan GLC memberikan pengecualian yang sama,” katanya. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )