Pengerusi Eksekutif BCorp Vincent Tan letak jawatan

Pengerusi Eksekutif BCorp Vincent Tan letak jawatan

KUALA LUMPUR,. Pengerusi Eksekutif Berjaya Corporation Bhd (BCorp), Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun melepaskan jawatannya berkuat kuasa semalam, dan akan kekal sebagai ahli lembaga pengarah sebagai pengerusi bukan eksekutif.
Pengunduran itu sejajar dengan visi Tan untuk mentransformasikan BCorp Group kepada syarikat yang diinstitusikan serta diuruskan oleh golongan profesional, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan semalam.

Ia berkata, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Abdul Jalil Abdul Rasheed telah diberikan mandat untuk mengubah kumpulan itu menjadi sebuah organisasi berprestasi tinggi dengan memperkemaskan pelbagai kumpulan perniagaan, meningkatkan nilai pemegang saham, mengoptimumkan sumber manusia dan kewangan, meningkatkan sinergi dan kecekapan serta meningkatkan tadbir urus korporat dan ketelusan.

Dalam satu kenyataan, Tan menzahirkan keyakinan terhadap Jalil dan Timbalan Pengerusi Eksekutif, Datuk Seri Robin Tan untuk menerajui BCorp Group, dan kumpulan itu berada pada pihak yang berwibawa dan mampu membawanya ke tahap yang lebih tinggi.

“Ia juga penting memberikan ruang dan kebebasan kepada Jalil untuk menerajui dengan caranya yang tersendiri.

“Saya kini boleh berundur daripada penglibatan seharian yang aktif dalam perniagaan kumpulan ini dan menumpukan lebih banyak masa dan tenaga dalam inisiatif kebajikan dan kepentingan lain,” katanya.

Sementara itu Jalil, yang akan memanfaatkan tiga bulan pertama untuk melakukan tinjauan strategik ke atas BCorp Group berkata beliau kini sedang bekerjasama dengan Robin Tan dan lembaga pengarah BCorp bagi memulakan proses peralihan dan membawa visi masa depan Vincent Tan ke mercu kejayaan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)