Pengenalan garis panduan pelarasan gaji tepat pada masanya

Pengenalan garis panduan pelarasan gaji tepat pada masanya

KUALA LUMPUR,. Beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga-M) menyifatkan kadar maksimum pemotongan gaji 10 hingga 30 peratus yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah berpatutan serta tidak terlalu memberi tekanan kepada pegawai dan pemain.

Mereka mengangap pengenalan Garis Panduan Pelarasan Gaji FAM pada Jumaat lepas adalah formula terbaik buat sebahagian pasukan yang belum mencapai kata putus dengan pemain selepas tamat tempoh dua minggu ditetapkan FAM, 22 April lalu.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata garis panduan itu memberi situasi menang-menang antara pihak pengurusan, pemain dan pegawai pasukan Liga-M.

“Kami di Kuala Lumpur sebelum ini hanya mencapai persetujuan selama dua bulan pemotongan gaji dengan pemain iaitu untuk bulan April (pemotongan dari 8 peratus ke 23 peratus) dan Mei (pemotongan 10 peratus ke 25 peratus).

“Setelah FAM mengeluarkan garis panduan sebegini, mungkin untuk bulan Jun ke atas sehingga liga boleh disambung, Kuala Lumpur akan mengikut peratus pemotongan yang FAM tetapkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pandangan sama disuarakan Setiausaha Agung FELDA United FC, Afizal Abu Othman yang menyeru semua pihak berkepentingan, khususnya pasukan Liga-M supaya mematuhi garis panduan itu.

“FELDA United adalah salah satu pasukan yang capai persetujuan dengan pemain sebelum tempoh diberikan FAM tentang isu pemotongan gaji dengan kadar lima ke 20 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jika PKP berakhir lebih awal, kami mungkin menilai untuk mengikut garis panduan ini dan akan dibawa berbincang dengan ahli lembaga pengarah pasukan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )