
Pengeluaran getah asli susut 14.8 peratus pada November
KUALA LUMPUR,. Pengeluaran getah asli Malaysia berkurangan sebanyak 14.8 peratus pada November 2020 kepada 42,554 tan metrik berbanding 49,943 tan metrik pada bulan sebelumnya.
Dari segi tahun ke tahun, pengeluaran tersebut susut sebanyak 19.7 peratus, demikian menurut Jabatan Perangkaan dalam laporan Perangkaan Getah Bulanan November 2020 yang dikeluarkan hari ini.
Mengulas laporan itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata eksport getah asli Malaysia berjumlah 56,522 tan metrik pada November 2020, meningkat sebanyak 3.7 peratus berbanding 54,492 tan metrik pada Oktober 2020.
“China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu 57.8 peratus daripada jumlah eksport pada November 2020 dan diikuti Jerman (9.1 peratus), Iran (5.1 peratus), Finland (3.4 peratus) serta Turki (3.4 peratus).
“Sarung tangan getah masih merupakan eksport utama dengan nilai eksportnya meningkat sebanyak 0.9 peratus kepada RM4.5 bilion pada November daripada RM4.4 bilion pada Oktober dengan Amerika Syarikat, Jerman dan China merupakan antara negara pengimport terbesar,” kata beliau.
Dalam pada itu, stok getah asli bagi November meningkat sebanyak 0.5 peratus bulan ke bulan kepada 259,440 tan metrik.
Harga purata Getah Mutu Malaysia 20 pada November meningkat kepada 632.74 sen sekilogram berbanding 621.76 sen sekilogram pada Oktober 2020.
“Trend sama turut membabitkan lateks pekat yang meningkat kepada 620.76 sen sekilogram pada November lepas berbanding 576.14 sen sekilogram pada bulan sebelumnya,” katanya.
Menurut Jabatan Perangkaan, penggunaan getah asli di peringkat domestik pada November 2020 susut 8.4 peratus kepada 44,236 tan berbanding bulan sebelumnya.
Industri pembuatan sarung tangan getah terus mendominasi penggunaan getah asli dengan mencatat sebanyak 33,110 tan metrik atau 74.8 peratus daripada keseluruhan penggunaan domestik.
— BERNAMA