Pengeluaran akaun 1 KWSP, moratorium bersasar antara cadangan UMNO – Ahmad Maslan

Pengeluaran akaun 1 KWSP, moratorium bersasar antara cadangan UMNO – Ahmad Maslan

PUTRAJAYA,. Kebenaran mengeluarkan akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium bayaran balik pinjaman secara bersasar adalah antara 130 syor yang dikemukakan UMNO kepada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk Belanjawan 2021.

Syor berkenaan disampaikan empat wakil UMNO, diketuai Setiausaha Agungnya Datuk Seri Ahmad Maslan serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti itu,Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Ketua Pemuda Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Ahmad berkata pengeluaran akaun 1 caruman KWSP merupakan cadangan yang popular dalam kalangan rakyat terutamanya bagi mereka yang tertekan akibat penularan wabak COVID-19.

“Tetapi jumlahnya (pengeluaran) mungkin boleh difikirkan oleh pihak kementerian dan KWSP, tidak semestinya setinggi RM10,000 mungkin kurang daripada itu,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Mengenai moratorium bayaran balik pinjaman, katanya beliau berpandangan ia lebih sesuai diberikan secara bersasar berbanding secara automatik memandangkan negara ini terdiri daripada tiga kumpulan pendapatan iaitu golongan berpendapatan tinggi T20, sederhana M40 dan rendah B40.

Dalam pertemuan selama satu setengah jam itu, Ahmad berkata isu pengangguran dan inisiatif bagi mewujudkan peluang pekerjaan baharu turut dibincangkan dan perlu diberi keutamaan dalam Belanjawan 2021.

Katanya ketika ini terdapat 740,000 penganggur di negara ini dengan kadar pengangguran meningkat daripada kira-kira tiga peratus kepada 5.4 peratus akibat penularan wabak COVID-19.

Selain itu, Ahmad berkata UMNO turut menekankan mengenai pembangunan mesra rakyat di seluruh negara terutamanya di luar bandar yang perlu diutamakan dalam Belanjawan 2021.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi melalui hantaran di laman Facebooknya menyenaraikan 10 cadangan utama UMNO antaranya yuran percuma kepada pelajar universiti awam dan bayaran khas sekurang-kurangnya RM500 kepada ibu bapa bagi meringankan perbelanjaan sesi persekolahan tahun 2021.

Katanya turut dicadangkan ialah melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hingga Disember 2021 dan melonggarkan syarat dan proses pinjaman perniagaan di Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, SME Corp atau mana-mana agensi berkaitan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Selain UMNO, Tengku Zafrul turut dijadualkan bertemu wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS), PAS dan Pakatan Harapan hari ini. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )