Pengelola Sukma tidak kompromi isu doping
KUALA LUMPUR,. Jawatankuasa Pengelola Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah berkompromi dengan atlet yang gagal ujian doping serta secara automatik dilarang bertanding pada temasya kali ini.
Jawatankuasa itu juga kecewa dengan keputusan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) yang melarang pembabitan pegawai teknikal daripada mengendalikan acara angkat berat kerana ketetapan badan induk itu berhubung kesalahan berkaitan isu doping yang tidak disambut baik Majlis Sukan Negara (MSN).
Ia menyaksikan penganjuran diteruskan tanpa penglibatan PABM demi memberi peluang kepada atlet yang bersih bersaing temasya kali ini, walaupun dua badang Terengganu dan seorang dari Perlis diuji positif doping para ujian prakejohanan.
“Ketika ujian 30 hari sebelum pertandingan bermula itu diadakan, tiada peraturan ditetapkan PABM untuk membatalkan penyertaan seluruh pasukan jika ada mana-mana atlet pasukan gagal ujian berkenaan. Kami hanya dimaklumkan pada 13 Sept, iaitu enam hari sebelum acara angkat berat membuka tirai.
“Ketetapan pembatalan seluruh pasukan oleh PABM itu juga adalah yang pertama seumpamanya di dunia, berbeza dengan peraturan saingan di peringkat antarabangsa yang hanya membatalkan penyertaan atlet yang terbukti gagal ujian doping,” menurut kenyataan daripada jawatankuasa berkenaan.
Menurut Jawatankuasa Pengelola, mesyuarat Ketua-ketua Kontinjen pada 15 Sept dan mesyuarat dihadiri semua Pengarah Majlis Sukan Negeri, turut bersetuju untuk penganjuran acara angkat berat diteruskan tanpa melarang seluruh ahli kontinjen melibatkan kes doping.
Namun, jawatankuasa itu menjelaskan bahawa pendirian PABM dihormati dan ia boleh dilaksanakan sekiranya dimasukkan secara rasmi dalam Peraturan Sukma dan setiap negeri dimaklumkan perkara tersebut.
Menurut PABM, mereka sebelum ini membuat ketetapan bahawa jika terdapat mana-mana atlet ahli gabungan/persatuan negeri positif doping, maka atlet tersebut dan atlet lain dalam ahli gabungan/persatuan negeri itu, akan digantung daripada menyertai Sukma ke-20.
Sementara itu, Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat. ketika dihubungi, mengesahkan bahawa mana-mana rekod kebangsaan dicipta di Sukma kali ini, tidak akan diiktiraf kerana pertandingan tidak melibatkan mana-mana pegawai teknikal daripada badan induk itu.
Terdahulu, Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri dari Terengganu memenangi emas kategori 45kg wanita selepas berjaya mengangkat bebanan 135kg (55kg untuk snatch, 80kg bagi clean and jerk), di mana angkatan clean and jerk itu mengatasi rekod kebangsaanya sebanyak 77kg dicatatkan pada Sukan SEA 2019.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Terengganu, Mohd Shafaruddin Mustafa, berkata pihaknya mendapati bahawa atlet dari negeri itu positif setelah mengambil ubat lelah dan tahan sakit ketika kem latihan pusat di Cameron Highlands dari 17-31 Ogos lepas.
“Mereka tidak mengambil suplemen luar atau dadah, tetapi disebabkan ubat yang dibeli di farmasi kerana masalah kesihatan. Kita juga tidak mahu mencabar Sampel B kerana sudah mengetahui punca dan memang tidak dibenarkan bertanding,” katanya.
— BERNAMA