Pengawal keselamatan tumbuk, tendang isteri dipenjara tiga bulan
KUALA LUMPUR,. Seorang pengawal keselamatan dipenjara tiga bulan dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini kerana menumbuk isterinya di bahagian belakang kepala dan badan selain menendangnya hingga jatuh.
Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu selepas M. Dhurai Singham, 48, mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan wanita itu dan memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya berumur 42 tahun, di rumahnya di Kampung Sungai Bakau Rawang, pada 5.03 petang, 2 Mac lepas.
Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan itu.
Dhurai Singham yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia berpendapatan rendah dan perlu menyara tiga anak.
Berdasarkan fakta kes, lelaki itu naik angin dan menumbuk pengadu (isteri) selepas ditanya mengenai wang sewa rumah.
— BERNAMA