Pengasuh ditahan bantu siasatan kematian bayi di Serdang

Pengasuh ditahan bantu siasatan kematian bayi di Serdang

KUALA LUMPUR,. Polis menahan seorang wanita warga Thailand bagi membantu siasatan kes kematian seorang bayi lelaki berusia 10 bulan, dipercayai didera di Serdang, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Ismadi Borhan ketika dihubungi berkata suspek berusia lewat 30-an yang juga pengasuh mangsa itu ditahan di rumahnya petang tadi dan akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya esok untuk mendapatkan perintah reman.

Beliau berkata pihak Hospital Serdang menerima mangsa yang dibawa oleh bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 5.17 petang semalam dan telah memberikan bantuan pernafasan, namun gagal bayi itu diselamatkan.

Sebelum itu, Ismail berkata bapa mangsa mengambil anaknya dari rumah pengasuh terbabit dan dibawa ke Hospital Serdang setelah dimaklumkan tentang keadaan mangsa yang lemah.

Mangsa juga dilaporkan dalam keadaan sihat ketika dihantar ke rumah pengasuh pada kira-kira 8 pagi.

“Pengasuh itu, yang berkahwin dengan warga tempatan, dan ibu bapa mangsa telah lama saling mengenali,” katanya.

Ismail berkata hasil bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada kecederaan abdomen akibat dipukul dengan senjata tumpul dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )