Penganjur KLSCM sedia adakan perlumbaan dalam kehangatan kempen PRU15

Penganjur KLSCM sedia adakan perlumbaan dalam kehangatan kempen PRU15

KUALA LUMPUR,. Penganjur Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2022 bersedia untuk mengadakan perlumbaan ikonik itu yang bermula dari 12 hingga 13 Nov ini di tengah-tengah tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan cuaca yang tidak menentu.

Memandangkan perlumbaan itu dianjurkan kembali selepas berehat dua tahun akibat pandemik COVID-19, penganjur terpaksa berdepan cabaran berbeza dalam menganjurkan acara yang selamat dan menyeronokkan untuk kira-kira 34,000 peserta termasuk lebih 1,000 pelari luar negara.

Pengarah Dirigo Events Sdn Bhd Gloria Ng berkata sebelum ini, penganjur perlu menghadapi cabaran dari segi jerebu dan keadaan cuaca, namun kali ini, acara itu buat kali pertama akan diadakan dalam suasana pilihan raya, seminggu sebelum hari mengundi pada 19 Nov.

“Kami bernasib baik dapat mengelak hari penamaan calon dan pengundian, jadi kami tidak perlu mengubah atau menunda perlumbaan ini. Kami masih berdepan cabaran dari segi menggerakkan beberapa sumber tetapi telah menyelesaikannya dengan pihak berkaitan.

“Saya rasa dari segi prestasi, ia tidak akan terjejas. Tetapi suasananya akan menjadi sangat unik, terutama gambar dan video peserta yang berlatarbelakangkan bendera parti dan bahan kempen,” katanya kepada Bernama selepas jelajah pengenalan laluan maraton penuh di sini pada Ahad.

Mengulas mengenai cuaca ketika Monsun Timur Laut, Gloria berkata pihaknya telah menyediakan pelan kontingensi jika hujan lebat dan banjir, serta bekerjasama dengan pihak berkuasa mengenai rancangan mitigasi.

Sementara itu, Gloria berkata penganjur menjangkakan masa penamat yang lebih pantas berbanding tahun-tahun sebelumnya, dan rekod juga berpotensi dipecahkan dengan sedikit perubahan pada laluan tahun ini.

Laluan baharu untuk maraton penuh (42.195 km) tidak akan meliputi Jalan Kampung Pandan, Jalan Tun Razak, Jalan Pahang, Jalan Tuanku Abdul Halim dan seksyen berbukit yang sukar di Bukit Tunku, tetapi akan digantikan dengan seksyen lanjutan di Jalan Kuching dan lebuh raya bertingkat AKLEH.

Bagi pencabar utama Malaysia, pemenang pingat gangsa Sukan SEA dua kali Muhaizar Mohamad, yang akan memburu gelaran keenam berturut-turut, akan dicabar oleh S. Poo Vasanthan manakala pelari menara nombor satu dunia Soh Wai Ching dijangka mempertahankan gelaran 10 km.

Buat julung kalinya, hari pertama perlumbaan (Sabtu) akan meliputi jarak lebih pendek iaitu 5 km dan 10 km, manakala acara utama separuh maraton (21.097 km) dan maraton penuh akan diadakan pada Ahad.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )