Peng Soon janji bayar balik
KUALA LUMPUR,. Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying bersyukur atas sokongan dan kesediaan Li-Ning untuk melanjutkan kontrak mereka.
Kesediaan jenama sukan terkenal itu melanjutkan kontrak setahun lagi harus mampu memberikan suntikan semangat kepada mereka untuk meneruskan misi ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
“Li-Ning bersedia menyokong kami melalui masa sukar ini dan saya amat berterima kasih untuknya. Saya akan meneruskan perjuangan dan membayar balik kepada Li-Ning dengan prestasi cemerlang kami,” kata Peng Soon.
Sementara itu, pengurus besar pengedar tunggal Li-Ning di Malaysia dari Sunlight Sports Pte Ltd, Simon Soh, berkata pihaknya memutuskan untuk meneruskan kontrak berkenaan selepas melihat kemampuan gandingan itu mencapai keputusan yang positif di kejohanan antarabangsa sejak Februari tahun lalu.
“Mereka telah menunjukkan profesionalisme yang baik sejak menandatangani perjanjian dengan kami dan ia merupakan sebab kami memutuskan untuk melanjutkan kontrak penajaan mereka untuk satu tahun lagi supaya mereka boleh memberikan tumpuan kepada persediaan ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan,” katanya, dalam satu kenyataan media, hari ini.
Untuk rekod, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil mengumumkan pengunduran mereka dari pasukan kebangsaan pada Disember 2018, dan meneruskan kejohanan antarabangsa mereka di bawah penajaan Li-Ning serta meraih kejuaraan Thailand Masters dan Terbuka New Zealand pada Januari dan Mei tahun lepas.
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memutuskan temasya Olimpik Tokyo akan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos tahun depan, iaitu tepat setahun dari tarikh asal yang dijadualkan pada 24 Julai tahun ini, susulan pandemik COVID-19 yang melanda global kini.