Pemuda UMNO desak Peguam Negara siasat kesahihan ‘Memo Dalaman’ kes Najib
SHAH ALAM: Pemuda UMNO mendesak Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menyiasat kesahihan dokumen tular yang didakwa sebagai ‘Memo Dalaman’ Jabatan Peguam Negara (AGC) oleh pasukan pendakwaan International Petroleum Investment Company (IPIC).
Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, dokumen setebal 12 muka surat bertarikh 10 September 2019 itu menyentuh tentang enam pertuduhan dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Menurutnya, sekiranya ia sahih, AGC perlu mengambil tindakan sewajarnya dengan menarik semula enam pertuduhan yang dikenakan terhadap dua individu tersebut selaras dengan rekomendasi dalam dokumen itu.
“Isi kandungan dokumen yang tular tersebut berbentuk rekomendasi daripada pasukan pendakwaan IPIC yang sebulat suara mengambil pendirian bahawa enam pertuduhan tersebut tidak memenuhi kehendak minimum untuk sesuatu pertuduhan pecah amanah (CBT) bagi mendapatkan kes prima facie.
“Dokumen yang tular didakwa ditujukan kepada Tan Sri Tommy Thomas (Peguam Negara Ketika itu),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. Beliau berkata, jika dokumen itu juga sahih, pihaknya meminta satu siasatan dibuat bagi menyiasat sama ada wujud salah guna kuasa dan kedudukan oleh individu tertentu yang bertentangan dengan undang-undang bagi memastikan kes pertuduhan diteruskan terhadap Najib.
“Bahkan, elemen pendakwaan politik seperti ini untuk memberi imej negatif dan mendatangkan kerugian tidak wajar berlaku. Negara juga telah mengalami kerugian dengan hanya memperoleh semula AS$1.8 billion berbanding rundingan yang dipersetujui sebanyak AS$7 billion antara pentadbiran Najib dengan pihak IPIC,” jelas beliau.
Jelas Akmal, pihaknya tidak akan bertolak ansur dan akan menentang tegas cubaan daripada mana-mana pihak yang ingin menyalahgunakan undang-undang bagi kepentingan peribadi.
“Pemuda UMNO Malaysia sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang. Undang-undang sedia ada di Malaysia ini bertujuan memastikan kebenaran dan keadilan sentiasa ditegakkan,” katanya lagi.
Sementara itu, satu hantaran di Facebook Najib dimuat naik menyatakan bekas Perdana Menteri itu berhak bertanyakan kesahihan dokumen berkenaan.
“Sebagai mangsa yang perlu menghadap kes 1Malaysia Developmet Berhad (1MDB)-IPIC selama lima tahun Najib berhak mengetahui adakah ia sahih atau tidak,” ujarnya. Tambahnya lagi, dokumen itu memetik keseluruhan pendakwaan dan penyiasat AGC sebulat suara merumuskan langsung tiada kes untuk mendakwa Najib serta tuduh-tuduhan tidak memenuhi keperluan atau ambang minimum untuk dibawa ke mahkamah.
“Selain itu AGC telah menemu bual 138 saksi dan tidak satu pun daripada kenyataan itu memihak kepada kes pendakwaan. Tiada satu bukti dokumen yang memihak kepada kes pendakwaan. “Peguam Negara ketika itu Tommy Thomas turut sedar bahawa kes 1MDB-IPIC ini tidak patut diteruskan pendakwaan. Terakhir, kes ini patut digugurkan,” katanya.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian