Pemimpin seteru politik turut ucap tahniah kepada Anwar

Pemimpin seteru politik turut ucap tahniah kepada Anwar

KUALA LUMPUR,. Walaupun beberapa hari lepas mereka ‘bertempur’ di medan Pilihan Raya Umum ke-15, ramai pemimpin politik tanah air tampil menzahirkan ucapan tahniah dan kata-kata nasihat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10.

Antaranya Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan.

Wee menjunjung kasih ke atas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 dan menghormati keputusan Seri Paduka bagi membentuk sebuah kerajaan perpaduan demi membangunkan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat.

“Semoga dengan kepimpinan Perdana Menteri baharu ini, negara kita dapat menghapuskan politik dendam dan mengelak daripada sebarang perpecahan dalam sebuah masyarakat majmuk.

“Masa depan negara perlu ke arah kesederhanaan dan meraikan kepelbagaian. Semoga Malaysia menuju ke arah kestabilan dan kemakmuran,” katanya melalui hantaran di laman Facebook, semalam.

Pada masa sama, Bung Moktar menerusi ciapan di Twitter beliau juga mengucapkan tahniah selepas penantian lebih 20 tahun Anwar berakhir, setelah dia mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri yang baharu di hadapan Seri Paduka petang semalam.

“Buat yang terbaik untuk rakyat dan negara,” katanya.

Seterusnya, Mukhriz berkata pihaknya berharap penubuhan kerajaan yang dianggotai Pakatan Harapan, BN, Gabungan Parti Sarawak dan lain-lain akan menstabilkan keadaan politik yang bergelora lebih dua tahun.

Beliau juga berkata rakyat mengharapkan sebuah kerajaan yang memberi tumpuan kepada krisis ekonomi yang dijangka lebih buruk tahun hadapan, kenaikan harga barang yang membebankan dan pandemik COVID-19 yang masih mengancam nyawa.

“Pejuang doakan kerajaan penggal ke-15 di bawah kepemimpinan Anwar akan menakhodai Malaysia keluar dari lautan yang bergelora ini dan memulihkan negara, sekali gus meletakkannya kembali di atas landasan yang benar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Turut senada, Arutchelvan dalam satu kenyataan berkata PSM berharap beliau akan berusaha untuk menyatukan seluruh negara serta menjaga kepentingan rakyat.

“Kami berharap dasar-dasar terbaik dan reformasi demokrasi yang progresif jadi teladan,” katanya.

Ahmad pula berharap Anwar memperbaiki ekonomi rakyat dan ekonomi negara dengan menjadikan usaha membasmi kemiskinan sebagai fokus utama.

“Kos hidup mesti dikurangkan. Pendapatan kerajaan mesti ditambah. Pendidikan dan kemahiran tinggi orang muda. Bangunkan kawasan desa. Adil kepada semua kaum. Hebatkan #Malaysia peringkat antarabangsa,” katanya menerusi ciapan di Twitter beliau.

Sementara itu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendoakan semoga Malaysia bertambah baik di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri dan berharap semua pihak dapat menerima baik pelantikan Anwar itu.

“Meskipun mengambil masa beberapa hari, dan diikuti oleh seluruh dunia proses yang berlaku ini, namun kita bersyukur kepada Allah ia berjalan dengan baik tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Pengerusi BN itu juga berkata semua pihak wajib menjujung titah Yang di-Pertuan Agong supaya bekerjasama membangunkan negara serta mengelakkan kemelut politik yang boleh merencatkan ekonomi dan pembangunan negara.

“Keputusan ini perlu diterima dengan baik oleh semua pihak kerana ia sudah diperhalusi dengan sebaiknya oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )