Pemilihan PKR: Proses pencalonan cabang lancar, 60 peratus guna kaedah dalam talian
KUALA LUMPUR,. Proses pencalonan pemilihan PKR 2022 di 222 cabang seluruh negara yang bermula hari ini berjalan lancar, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Dr Zaliha Mustafa.
Dr Zaliha berkata melalui tinjauan dan laporan dari koordinator pusat setiap negeri, rata-rata calon mendaftar melalui dalam talian, berbanding datang ke pusat pencalonan untuk mendaftar secara fizikal.
“Ini menunjukkan aplikasi ADIL yang julung kali kita gunakan bagi pemilihan kali ini, difahami dan mesra pengguna bagi memudahkan calon menjalankan proses pencalonan diri mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Bercakap mengenai tatacara pencalonan, Dr Zaliha berkata selain memenuhi syarat yang digariskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), calon juga mesti anggota cabang tertentu untuk bertanding di cabang tersebut.
“Jika mereka adalah anggota cabang Iskandar Puteri misalnya, dia mesti bertanding bagi jawatan untuk cabang itu sahaja, tidak boleh jadi calon bagi cabang lain, begitu juga pencadang dan penyokong mesti dari cabang yang sama,” katanya.
Mengulas mengenai tatacara berkempen yang juga bermula secara rasmi hari ini, Dr Zaliha mengingatkan calon supaya mengelak kempen bersifat selar-menyelar dan memburukkan antara satu sama lain.
Katanya, calon perlu mengamalkan kempen yang bersih dan paling penting mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
Sementara itu, tinjauan Bernama bagi pemilihan di negeri-negeri lain juga mendapati proses pencalonan berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Di SELANGOR, Setiausaha Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) negeri Hamidi A.Hasan berkata sekitar 60 peratus mengisi pencalonan secara dalam talian.
Di NEGERI SEMBILAN, Setiausaha MPN Nazri Kassim berkata proses pencalonan secara dalam talian yang bermula pukul 8 pagi di lapan cabang negeri itu, dipantau Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP) bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.
Timbalan Pengerusi negeri Datuk M.Ravi yang telah menghantar permohonan secara dalam talian pada pukul 3 petang, untuk mempertahankan jawatan Ketua Cabang Port Dickson, manakala di PERAK proses pencalonan dilaksanakan secara fizikal di Pejabat PKR negeri dan secara dalam talian tanpa gangguan.
Pengerusi Interim PKR Perak Dr Lee Boon Chye berkata kira-kira 50 peratus muka baharu, akan mengambil bahagian pada pemilihan di Perak kali ini, susulan beberapa anak muda daripada 24 cabang yang baru melepasi had umur Angkatan Muda Keadilan, akan mengambil alih jawatan alih jawatan ketua cabang.
Di KEDAH, Pengerusi PKR Kedah Datuk Johari Abdul ketika dihubungi berkata beliau akan bertanding jawatan Ketua Cabang Sungai Petani dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), manakala Datuk Zamri Yusuf akan mempertahankan jawatan Ketua Cabang Alor Setar.
Di SABAH, Ahli Jawatankuasa Pemilihan Parti Abdul Rahman Yakob yang juga koordinator pemilihan bagi Sabah berkata kira-kira 60 peratus muka baharu, akan mengambil bahagian pada pemilihan di Sabah kali ini yang dilaksanakan secara dalam talian.
Beliau berkata Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew, bakal mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu dalam pemilihan parti hari ini, selain Timbalannya Awang Husaini akan bertanding bagi Ketua Cabang PKR Putatan.
Di PULAU PINANG, Pengerusi PKR negeri Muhammad Bakhtiar Wan Chik parti mengalu-lalukan mengenai kemungkinan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, akan berganding dengan Mohd Rafizi Ramli dalam pemilihan PKR kali ini.
Pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 bermula hari ini hingga Ahad, melibatkan jawatan di peringkat cabang di seluruh negara.
— BERNAMA