Pemilihan Bersatu platform memperkasa parti – Rina Harun
KUALA LUMPUR,. Pemilihan sayap Bersatu untuk Armada dan Srikandi hujung minggu ini, merupakan satu platform bagi “ahli keluarga” untuk menentukan barisan kepimpinan baharu dengan matlamat untuk memperkasa parti.
Ketua Srikandi Bersatu Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata beliau sendiri terbuka untuk menerima cabaran pertandingan malah bersyukur kerana proses kempen pemilihan berjalan secara sihat selepas tertangguh sebelum ini.
“Sejak dari awal, saya menerima pertandingan di peringkat Ketua Srikandi Bersatu Malaysia ini dengan hati terbuka.
“Pemilihan kali pertama dalam parti telah lama tertangguh, atas sebab itu saya sebenarnya bersyukur kerana akhirnya kita dapat menyempurnakan tanggungjawab yang termaktub dalam perlembagaan parti,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada pemilihan tersebut, Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu akan dicabar Ketua Bersatu Bahagian Kepala Batas, Azlina Mehtab Mohd Ishak; Timbalan Ketua Penerangan Srikandi, Datin Iza Ismail dan Ketua Srikandi Kuala Langat, Zuhuraina Makmur.
Mengulas lanjut mengenai pertandingan empat penjuru itu, Rina yang merupakan Ketua Srikandi Sepang berkata sikap hormat-menghormati sesama calon dan jentera antara asas penting dalam memastikan kempen pemilihan dan pertandingan itu berjalan secara lancar dan tertib.
“Saya telah menjelajah bertemu para pimpinan dan ahli Srikandi di akar umbi untuk mengemukakan hasrat dan menerangkan hala tuju serta matlamat yang saya gariskan.
“Respons yang diterima adalah amat positif. Saya yakin mereka memilih untuk memastikan kesinambungan itu penting dalam konteks melaksanakan segala gerak kerja Srikandi pada kadar segera demi memperkukuh bagi menghadapi pilihan raya.
“Selaku calon Ketua Srikandi, saya telah menggariskan lima teras Agenda Bertindak 2.0 iaitu Pemerkasaan Parti untuk penambahan ahli, program Gerakan Prihatin untuk kepentingan rakyat, program Jaringan Masyarakat bersama badan-badan kerajaan, program Wanita Progresif untuk peluang kerja dan penubuhan platform Wanita Muda. Dengan ini, kita serahkan kepada kebijaksanaan para ahli dalam menunaikan hak mereka,” tegasnya.
Rina percaya, ahli Srikandi akan bersama-sama memainkan peranan dalam memperkasa sayap parti di fasa baharu dengan terbentuknya barisan kepimpinan yang mendapat mandat ahli melalui proses pemilihan.
— BERNAMA