Pemergian Mohd Shamsuddin kehilangan besar bagi NGO Islam – Zahidi

Pemergian Mohd Shamsuddin kehilangan besar bagi NGO Islam – Zahidi

SHAH ALAM,. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin menyifatkan pemergian ke rahmahtullah Setiausaha Sulitnya Mohd Shamsuddin Damin sebagai satu kehilangan besar bagi badan bukan kerajaan (NGO) Islam tempatan.

Beliau berkata Mohd Shamsuddin, 56, yang semasa hayatnya memegang jawatan sebagai Setiausaha Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) memainkan peranan penting dalam mengatur gerak kerja membabitkan NGO-NGO Islam terutamanya melibatkan sekolah tahfiz, hal ehwal halal dan program kebajikan bagi golongan kurang berkemampuan.

“Allahyarham bertanggungjawab dalam banyak program membabitkan IKIAM, malah beliau turut bertanggungjawab menyusun atur kerjasama antara IKIAM dan NGO-NGO Islam dalam program membabitkan isu-isu halal, kebajikan dan keusahawanan,” katanya kepada pemberita selepas meluangkan masa kira-kira sejam menziarahi keluarga allahyarham Mohd Shamsuddin di kediamannya di Seksyen 30 di sini, hari ini.

Zahidi berkata, allahyarham Mohd Shamsuddin merupakan seorang yang amat dedikasi dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

“Saya amat beruntung kerana mendapat seorang setiausaha sulit yang begitu rajin bekerja,” katanya.

Mohd Shamsuddin meninggal dunia semalam dipercayai akibat serangan jantung selepas rebah di sebuah chalet di Janda Baik, Bentong, Pahang.

Allahyarham Mohd Shamsuddin mula berkhidmat dengan Zahidi sejak beliau dilantik sebagai timbalan menteri.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )