Pemenang cabutan ‘super jutawan’ bawa pulang hadiah RM2 juta

Pemenang cabutan ‘super jutawan’ bawa pulang hadiah RM2 juta

KUALA LUMPUR, 4 Jan — Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini mengumumkan pemenang Cabutan Istimewa BSN SSP (Sijil Simpanan Premium) Jutawan ke-12 atau ‘Super Jutawan’ yang julung kalinya membawa pulang hadiah berjumlah RM2 juta.

Wan Khadijah Abdul Rahman dari Perak, diumumkan sebagai pemenang cabutan istimewa itu pada Majlis Cabutan BSN SSP bagi Disember 2019 yang diadakan di Wisma BSN hari ini.

Ketua Pegawai Perniagaan BSN Mujibburrahman Abd Rashid berkata dengan pengumuman jutawan ke-12 itu, kempen BSN SSP 2019 sampai ke penghujungnya dengan jumlah ganjaran bernilai RM22 juta telah diberikan kepada pemenang cabutan berkenaan sepanjang tahun tersebut

“BSN SSP dari semasa ke semasa terus mendapat sambutan yang menggalakkan dan sehingga kini mempunyai seramai 3.8 juta penyimpan di bawahnya dengan jumlah simpanan menghampiri RM3.6 billion termasuk RM1.4 billion simpanan baharu pada 2019.

“Untuk tahun depan pula kita mensasarkan RM1 billion untuk simpanan baharu SSP dan sebagai inisiatif bagi menggalakkan orang ramai terus menyimpan, BSN juga memperkenalkan cabutan baharu tahun ini dengan jumlah ganjaran yang lebih lumayan melibatkan 7,637 hadiah bernilai RM23 juta,” katanya.

Ini merupakan peningkatan hadiah sebanyak 253 dengan nilai RM1 juta berbanding tahun lalu.

Antaranya termasuk kempen khas BSN SSP yang dikenali sebagai ‘Keajaiban 2020’ iaitu dengan simpanan minimum RM2,020, penyimpan berpeluang membawa pulang ganjaran sebanyak RM20,200 dan Cabutan Super SSP yang dijalankan pada Disember 2020 dengan menawarkan BMW X4 untuk dua pemenang.

“Untuk Januari hingga November 2020, BSN masih menawarkan simpanan tunai BSN SSP sebanyak RM1 juta sebagai ganjaran pemenang Cabutan Istimewa BSN SSP, manakala bagi Disember 2020 jumlah ganjaran RM2 juta akan dikekalkan.

“Sementara hadiah untuk Cabutan Bulanan BSN SSP juga akan dipertingkatkan dengan pemenang berpeluang membawa pulang sebuah BMW X1,” katanya.

Dalam majlis yang sama, BSN juga telah menyampaikan hadiah kepada beberapa pemenang cabutan istimewa BSN SSP untuk November 2019.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )