Pembukaan Parlimen 13 Sept, sidang pertama kerajaan pimpinan Ismail Sabri

Pembukaan Parlimen 13 Sept, sidang pertama kerajaan pimpinan Ismail Sabri

Oleh Yasmin Ahmad Zukiman

KUALA LUMPUR,. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada Isnin, yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Persidangan yang diadakan dua hari selepas sambutan ulang tahun ke-62 Parlimen itu, dijadual menumpukan isu pemulihan negara susulan penularan pandemik COVID-19 serta pakej-pakej bantuan yang disediakan untuk kelangsungan hidup rakyat.

Mesyuarat 17 hari sehingga 12 Oktober itu, selepas suhu politik kembali reda dengan penubuhan kerajaan baharu di bawah pimpinan Ismail Sabri, juga bakal menyaksikan pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan.

Setakat ini dua nama disebut-sebut bakal dicalonkan iaitu Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan yang merupakan calon blok kerajaan dan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming calon Pakatan Harapan (PH).

Jika dua nama itu dicalonkan, persidangan dewan pada Selasa, sehari selepas perasmian, akan menyaksikan pengundian dalam kalangan 220 Ahli Parlimen bagi memilih Timbalan Yang di-Pertua.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon mengesahkan proses pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu telah dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat pada Selasa.

“Sekiranya ada lebih dari satu nama, undi belah bahagian akan dijalankan bagi memilih Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Setakat ini kita ada terima nama kerana mereka perlu mengemukakan nama calon 14 hari sebelum tarikh pengundian diadakan,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, tumpuan juga kepada kemungkinan usul berkaitan keabsahan Perdana Menteri dibawa pada sidang kali ini.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini dilaporkan berkata tiada keperluan untuk mengemukakan undi percaya terhadap Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat bagi menentukan keabsahan pelantikannya.

Menurut Wan Junaidi, ia memandangkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan menetapkan kuasa melantik Perdana Menteri adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong dan justeru itu pelantikan Ismail Sabri adalah mengikut lunas undang-undang.

Menurut takwim mesyuarat Dewan Rakyat yang dimuat naik dalam laman web rasmi Parlimen Malaysia, selain usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, turut disenaraikan adalah pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2021-2025 oleh kerajaan, yang dijadual pada 27 Sept.

Ahli-ahli Dewan Rakyat akan mengambil bahagian dalam Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja selama empat hari mulai 14 September, sebelum sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 22 dan 23 September, menurut takwim itu.

Sesi perbahasan RMK12 pula akan bermula pada 28 Sept hingga 4 Oktober, sebelum jawapan oleh menteri-menteri berkaitan.

Dua hari terakhir mesyuarat kali ini iaitu pada 11 dan 12 Oktober pula isi dengan rang undang-undang dan urusan-urusan kerajaan yang lain.

Sementara itu, Mesyuarat Dewan Negara yang dirasmikan serentak dengan Dewan Rakyat, akan berlangsung dari 4 hingga 26 Oktober.

Bagi meminumkan risiko jangkitan COVID-19 di Parlimen, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun sebelum ini memaklumkan pelbagai inisiatif dijalankan, antaranya pemasangan penapis udara ultra violet di dewan besar Parlimen serta penggunaan teknologi nano di pejabat bagi membunuh bakteria dan virus.

Melalui usaha itu, Azhar berkata tahap pengudaraan di Parlimen kini adalah setaraf hospital dan amat bersih.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )