Pembelajaran dalam talian ketika COVID-19, beri peluang perkembangan Anak GENIUS Negara

Pembelajaran dalam talian ketika COVID-19, beri peluang perkembangan Anak GENIUS Negara

PUTRAJAYA,. Perancangan awal yang diambil Pusat Anak GENIUS Negara (PAGN) dan Pusat Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Integrasi) GENIUS ketika penularan COVID-19 awal tahun ini terutama dalam menerapkan pembelajaran secara dalam talian membuahkan hasil kerana ia memberi peluang terhadap perkembangan anak-anak melalui bimbingan pendidik dan penglibatan ibu bapa.

Menerusi topik “Norma Baharu – Alternatif Pembelajaran Pendidikan Awal Kanak-Kanak”, para pendidik di Integrasi GENIUS di Presint 11 di sini berkongsi cabaran dan manfaat yang diperoleh anak-anak berumur antara dua dan empat tahun menerusi pembelajaran dalam talian yang dilaksanakan secara meluas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian COVID-19.

Pendidik bagi kumpulan umur empat tahun, Nora Azua Zaini berkata pembelajaran secara dalam talian wajar diteruskan pada masa akan datang walaupun selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran bersama anak masing-masing, menunjukkan mereka lebih peka dan jelas dengan perkembangan anak-anak.

“Pembelajaran dalam talian dapat melihat usaha sama antara ibu bapa dan pendidik dalam membantu perkembangan anak-anak. Kesinambungan pembelajaran antara pusat Genius dan di rumah juga merupakan satu peluang untuk pendidik lebih kreatif untuk meneroka kemahiran dan teknologi terkini dalam penghasilan bahan pembelajaran seperti video,” katanya kepada Bernama.

Ditanya kesinambungan pembelajaran anak-anak di PAGN di seluruh negara sepanjang PKPB, Nora Azua berkata pembelajaran seperti itu masih diteruskan seperti biasa dengan beberapa langkah diambil selain pembelajaran dalam talian.

Antaranya penghasilan video dan bahan pembelajaran bersesuaian mengikut peringkat umur akan diberikan kepada ibu bapa setiap minggu sebagai panduan.

Beliau berkata segala aktiviti yang dilaksanakan mengambil kira enam bidang perkembangan kanak-kanak sejajar dengan kurikulum GENIUS Negara iaitu perkembangan bahasa, komunikasi dan literasi awal; perkembangan sahsiah, sosioemosi dan kerohanian; perkembangan deria dan pemahaman dunia persekitaran; perkembangan fizikal, perkembangan kreativiti dan estetika; dan perkembangan awal matematik dan pemikiran logik.

Nora Azua turut menyatakan aktiviti dan pembelajaran secara dalam talian mendapat sambutan positif dalam kalangan ibu bapa ketika ia dilaksanakan pada peringkat awal yang secara tidak langsung merapatkan lagi hubungan dan komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak mereka.

Jelasnya, aktiviti dibekalkan oleh pendidik kepada ibu bapa supaya mereka tidak kekeringan idea dan antara aktiviti yang disediakan melibatkan barang-barang harian yang senang didapati di rumah seperti tepung, surat khabar dan kotak. Pendekatan pembelajaran sebegini dipraktikkan di PAGN seluruh negara.

Beliau berkata segala bahan pembelajaran yang disediakan pendidik akan dimuat naik di media sosial termasuk Facebook dan YouTube supaya ibu bapa dapat menjadikan ia sebagai bahan rujukan untuk merangka aktiviti bersesuaian dengan mengikut peringkat umur. Usaha itu bukan sahaja memanfaatkan ibu bapa kepada anak mereka yang berada di GENIUS Negara tetapi kepada ibu bapa lain juga.

Menyentuh mengenai kaedah penilaian perkembangan anak-anak, Nora Azua berkata pentaksiran terhadap perkembangan anak-anak direkodkan dalam sistem Pusat Data Kanak-Kanak Kebangsaan (NCDC), suatu Rancangan Pelaksanaan Aktiviti (RPA) yang disediakan para pendidik dalam talian berhubung terus dengan sistem pentaksiran perkembangan kanak-kanak.

Katanya, penglibatan dan kerjasama daripada ibu bapa dalam berkongsi penilaian terhadap perkembangan anak masing-masing juga memudahkan pendidik membuat pentaksiran.

Selain itu, Nora Azua berkata walaupun konsep 3E iaitu meneroka, mengeksperimen dan mengalami (Exploring, Experimenting and Experiencing) ditekankan dalam aktiviti, namun dalam suasana normal baharu aspek kebersihan sebelum, semasa dan selepas aktiviti serta jadual penggiliran turut diambil perhatian serius dalam setiap rancangan pelaksanaan untuk mematuhi penjarakan fizikal.

Beliau berkata pelbagai pendekatan telah diambil untuk memastikan keselamatan pengoperasian PAGN termasuk pengurangan kapasiti selaras dengan arahan penjarakan selamat dan penggiliran menghantar anak-anak.

Ibu bapa juga kini lebih sedar dan bertanggungjawab dengan tidak menghantar anak-anak mereka ke pusat itu jika tidak sihat sekali gus dapat membantu membendung penularan COVID-19.

Bagi pendidik kumpulan umur tiga tahun di pusat itu, Arlina Anuar berkata proses pembelajaran dalam norma baharu khususnya dalam talian membolehkan perkembangan anak-anak dapat dimanfaatkan bersama ibu bapa dan pendidik.

“Bukan sahaja perkembangan anak-anak dapat dikekalkan tetapi pendidik juga berpeluang untuk menghasilkan video kreatif mengenai pendidikan awal kanak-kanak memandangkan video berbahasa Melayu di pasaran sangat kurang,” katanya.

Arlina berkata pada permulaannya, anak-anak kurang menyesuaikan diri dalam normal baharu, namun kini mereka lebih faham dan selesa kerana pendidik memberi pendedahan awal tentang bahaya wabak COVID-19.

“Pada peringkat awal PKP, pembelajaran dalam talian ketika itu banyak memberi fokus kepada video memperkenalkan apa itu COVID-19 dan cara membasuh tangan. Kita memberi pendedahan awal dan penerangan kepada anak-anak tentang bahaya virus itu.

“Sekarang mereka mula faham malah telah menjadi sebahagian rutin mereka seperti contoh jika mereka bersin kena tutup mulut, lap dan cuci. Ada juga anak-anak yang meminta ibu bapa supaya dipakaikan ‘face mask’ dan pelbagai corak comel turut memberi keterujaan kepada mereka untuk adaptasi normal baharu,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )