
Pembatalan Projek Tebatan Banjir Tindakan Tidak Matang, Kata Tuan Ibrahim
SHAH ALAM – Keputusan Kerajaan Madani untuk membatalkan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion pada 6 Disember 2022 disifatkan sebagai kurang matang dan mengundang pelbagai persoalan, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau mempersoalkan justifikasi di sebalik keputusan tersebut, terutamanya apabila kerajaan mendakwa mampu menjimatkan RM2 bilion selepas menamatkan enam projek tebatan banjir, sedangkan pelaksanaan projek itu belum pun bermula ketika itu.
“Di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebanyak 40 projek tebatan banjir di seluruh negara telah diperuntukkan melalui kaedah luar bajet (off-budget) berjumlah RM15 bilion,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Namun, apa yang lebih menghairankan, menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mengarahkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi untuk memberi kelonggaran bagi mempercepatkan semula pelaksanaan projek tebatan banjir yang sebelum ini telah dibatalkan.
“Saya tertanya-tanya apakah asas Perdana Menteri dalam menyatakan bahawa pembatalan enam projek ini akan membawa penjimatan RM2 bilion?” soalnya.
Sebelum ini, Anwar ketika berucap di hadapan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengumumkan bahawa projek tebatan banjir akan diberi kelonggaran oleh Perbendaharaan Malaysia agar pelaksanaannya dapat dipercepatkan.
Beliau turut menekankan keperluan mempercepatkan peruntukan melalui proses saringan awal (pre-queue) bagi memastikan projek ini dapat segera dilaksanakan.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata ketika beliau memegang jawatan sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air, beliau telah memberi amaran bahawa penangguhan projek tebatan banjir akan menyebabkan negara mengalami kerugian yang lebih besar.
“Hari ini, apa yang saya jangkakan telah terbukti apabila negara mencatatkan kerugian akibat banjir pada 2023 berjumlah RM755.4 juta, atau 0.04 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.
Beliau turut menambah bahawa bencana banjir yang melanda beberapa negeri, termasuk Sabah dan Sarawak baru-baru ini, telah meningkatkan lagi penderitaan rakyat selepas Kedah, Kelantan dan Terengganu mengalami banjir buruk pada penghujung 2024.
“Lebih mengejutkan, selepas tiga tahun, Perdana Menteri baru menyedari kepentingan projek tebatan banjir yang pernah dibatalkan sebelum ini.
“Jika beliau menyedarinya lebih awal, tidak perlulah beliau menelefon Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) sehingga lewat malam seperti yang dilaporkan oleh media hari ini,” katanya lagi.