Pematuhan SOP sektor perdagangan pengedaran hampir 100 peratus

Pematuhan SOP sektor perdagangan pengedaran hampir 100 peratus

PUTRAJAYA,. Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara oleh 1.09 juta premis sektor perdagangan pengedaran di seluruh negara kini mencapai 99.9 peratus, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata pencapaian tersebut berdasarkan pemeriksaan oleh penguat kuasa KPDNHEP bagi tempoh 13 Mei 2020 sehingga semalam (8 Mac).

Dari segi kesalahan ketidakpatuhan SOP pula, beliau berkata bagi tempoh sama sebanyak 1,063 kes direkodkan atas pelbagai kesalahan dengan RM5.27 juta kompaun dikeluarkan.

“KPDNHEP akan memastikan SOP terus dipatuhi oleh pengguna ketika mengunjungi premis perniagaan terutama sektor peruncitan dan pengedaran di bawah seliaan KPDNHEP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyambut baik pengumuman had waktu beroperasi bagi premis perniagaan yang dimansuhkan bermula 1 April ini mengikut syarat lesen operasi premis masing-masing, dengan menyifatkannya sebagai pemangkin dalam merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya sektor perdagangan dan pengedaran.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu berkata fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ merupakan ‘exit strategy’ (strategi keluar daripada pandemik) untuk membolehkan rakyat Malaysia kembali semula kepada kehidupan hampir normal selepas kira-kira dua tahun berperang dengan COVID-19.

Sebagai tanda sokongan terhadap SOP mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam, Nanta memberi jaminan pihaknya akan memastikan bekalan pelitup muka serta kit ujian kendiri COVID-19 sentiasa stabil dan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan.

KPDNHEP menetapkan harga siling runcit bagi pelitup muka jenis tiga lapisan diturunkan kepada 70 sen berbanding RM1 sekeping, berkuat kuasa 1 Nov 2020, manakala harga maksimum kit ujian ditetapkan pada harga RM19.90 seunit, dan harga borong RM16 berkuat kuasa 5 Sept lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )