Pematuhan ESG penting bagi Malaysia depani cabaran pada 2022 dan seterusnya

Pematuhan ESG penting bagi Malaysia depani cabaran pada 2022 dan seterusnya

KUALA LUMPUR,. Menyokong agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dilihat sebagai satu resolusi penting bagi seluruh industri walaupun syarikat kecil masih lagi di peringkat awal pelaksanaannya namun semakin banyak firma besar yang telah mengamalkannya dan malahan ada sebahagiannya telahpun bergerak seiring dengan syarikat global utama dalam usaha menggerakkan inisiatif tersebut.

Walaupun ahli ekonomi berpandangan masih banyak lagi yang perlu dilakukan dalam pelaksanaan ESG, berkembang secara mampan dan bertanggungjawab merupakan suatu yang penting ketika negara berada di landasan pemulihan daripada pandemik COVID-19.

Menurut Ernst & Young Global Limited, pandemik telah memperkukuh kepentingan isu ESG dan mempercepat peralihan kepada kapitalisme lebih inklusif dan pelabur percaya bahawa syarikat yang mencatatkan prestasi ESG yang baik adalah kurang berisiko dan berkedudukan baik pada masa depan serta dapat mempersiapkan diri untuk berdepan dengan sebarang ketidakpastian.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ucapan tahun baharunya berkata bahawa negara kini bersedia untuk mewujudkan ekosistem yang berupaya menjana aktiviti dan pasaran pekerjaan dengan ekonomi dan masyarakat mesra ESG.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia komited untuk mencapai status ‘negara neutral karbon’ menjelang 2050.

Proses Pematuhan Penuh ESG Mungkin Ambil Masa Yang Lama

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid mengulas bahawa Malaysia mungkin mengambil masa yang lama untuk mematuhi sepenuhnya konsep tersebut namun ia amat penting bagi negara.

“Pada masa ini, ia masih merupakan konsep yang agak baharu tetapi mempunyai pengaruh yang lebih besar ke atas perniagaan dan pelaburan kerana kita tahu, menumpukan semata-mata kepada keuntungan mungkin tidak membawa banyak kebaikan kepada masyarakat kerana kesan luaran negatif akan ditanggung oleh seluruh negara.

“Ia adalah pandangan yang sangat holistik dan memerlukan keberanian dan komitmen tinggi untuk mematuhi prinsip-prinsip ESG,” katanya sambil menambah konsep ESG masih di peringkat penerokaan di sini kerana tidak ada standard khusus yang boleh disesuaikan bagi setiap rantau, negara dan industri.

“Saya percaya ia adalah satu proses yang berterusan dan kita akan membuat penyelarasan yang sesuai ketika kita melaksanakannya,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata spektrum ESG akan memaksa syarikat untuk melihat kembali strategi korporat jangka panjang mereka, yang bukan sahaja untuk meraih keuntungan yang besar tetapi juga memastikan perniagaan yang membawa keuntungan.

Jadi, ia bukan lagi tentang keuntungan semata-mata, katanya, tetapi perniagaan perlu memikirkan keupayaannya untuk kekal relevan kerana ESG boleh dianggap sebagai satu daripada risiko kawal selia daripada perspektif perniagaan.

“Ia terutamanya apabila terdapat pembelian yang lebih besar dalam kalangan pelabur institusi. Jadi, menilai dana boleh menjadi satu yang mencabar sekiranya kita tidak mematuhi matrik ESG.

“Faktor pendorong bagi menggalakkan pematuhan ESG adalah dana pelaburan global utama mengkehendaki syarikat penerima pelabur bebas daripada risiko ESG. Justeru, syarikat yang tidak mengamalkan ESG akan berdepan penyusutan pelabur atau lebih teruk lagi, mereka tidak layak dipertimbangkan bagi dana pelaburan untuk ESG sahaja,” katanya.

Memberi contoh United Nations Principles for Responsible Investment (UNPRI), beliau berkata terdapat lebih daripada 4,300 pelabur institusi global yang menjadi penandatangan mereka dan ini membolehkan pelabur (negara atau syarikat) untuk memanfaatkan dana institusi global.

Di Malaysia, institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan Khazanah Nasional Bhd menjadi penandatangan UNPRI.

“Dengan peningkatan kesedaran mengenai ESG dan komitmen kepada Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 (UN SDG) oleh kerajaan, perniagaan global dan pemain industri, pelabur dijangka semakin arif menilai pendedahan risiko.

“Aktiviti syarikat yang menjejaskan alam sekitar atau tidak bertanggungjawab dari segi sosial dan produk yang tidak berasaskan penggunaan mampan dan prinsip pengeluaran, termasuk yang mempunyai jejak karbon tinggi boleh menyebabkan permintaan pasaran mereka menjadi berkurangan,” katanya.

Sementara itu, Dr Yeah Kim Leng, Profesor Ekonomi di Kajian Perniagan Universiti Sunway berkata syarikat tersenarai telahpun diminta untuk melaporkan amalan ESG dan pendedahan risiko mereka.

Terdapat juga Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia bagi pasaran saham Malaysia yang memudahkan pelabur untuk membuat pelaburan ESG dan meningkatkan profil syarikat yang mempraktiskan amalan ESG.

“Bagi menggalakkan lebih banyak syarikat mengamalkan ESG, kerajaan dan badan industri perlu menimbang pelbagai program yang merangkumi insentif, latihan dan sokongan termasuk kejuruteraan semula, pengukuran dan perkhidmatan penilaian,” katanya.

Selain itu, Yeah berkata amalan ESG yang meluas akan membantu peralihan pantas kepada ekonomi lebih mampan dan rendah karbon, yang mana industri dan syarikat dijangka lebih berdaya tahan tanpa atau memiliki pendedahan yang kecil kepada risiko ESG.

“Meskipun sesetengah industri dan syarikat mungkin berdepan kos tinggi menjalankan perniagaan sekiranya mereka mengamalkan amalan terbaik ESG, manfaat jangka panjang dijangka mengatasi kos memandangkan peralihan global kepada pembangunan mampan,” katanya.

BNM: Peralihan Sistem Ke Arah Ekonomi Hijau

Bank Negara Malaysia (BNM) juga ternyata serius terhadap perkara itu apabila terus menggalakkan pembangunan mampan, termasuk menerusi Rangka Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 dengan fokus bagi memudahkan peralihan sistem perbankan kepada ekonomi lebih hijau.

Malah, Gabenor Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata bank pusat itu turut mengenal pasti lima keutamaan yang akan memperkukuh usaha menggalakkan sistem kewangan yang dapat menjana pertumbuhan jangka panjang, menjamin kesihatan bumi atau planet serta kemakmuran bersama.

Keutamaan tersebut adalah membiayai transformasi ekonomi Malaysia, meningkatkan kesejahteraan kewangan isi rumah dan perniagaan, memajukan pendigitalan sektor kewangan, meletakkan sistem kewangan untuk memudahkan peralihan secara teratur kepada ekonomi hijau dan meningkatkan kewangan berasaskan nilai melalui kepimpinan pemikiran dalam kewangan Islam.

Dalam menyokong BNM, kalangan bank-bank tempatan juga mengambil langkah untuk menyepadukan pertimbangan ESG dalam tadbir urus, strategi perniagaan, operasi dan pengurusan risiko masing-masing, terutama selepas kejadian banjir baru-baru ini.

Ini diperkukuh oleh langkah-langkah pengawalseliaan seperti Taksonomi Berasaskan Perubahan Iklim dan Prinsip serta garis panduan mengenai pengurusan risiko dan analisis senario yang dikeluarkan bagi tujuan perundingan.

Selain sektor perbankan, Top Glove Corp Bhd yang juga peneraju dalam industri pengeluaran produk penjagaan kesihatan, telah mengumumkan penyertaan kali pertamanya dengan pengiktirafan Penggerak Industri dalam buku tahunan Sustainability Yearbook 2022 oleh S&P Global.

Syarikat tersebut yang pernah berdepan dakwaan menggunakan buruh paksa oleh pihak Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat, kini bebas memasuki pintu masuk negara maju itu selepas larangan tersebut ditarik balik pada September tahun lepas.

Top Glove berserta WRP Asia Pacific Sdn Bhd yang juga dikeluarkan daripada sekatan tersebut, akan berkongsi pengalaman dan pendekatan dengan syarikat-syarikat lain yang turut berdepan sekatan sama agar bercirikan firma yang patuh ESG.

ESG Elak Percanggahan Kepentingan, Amalan Rasuah Perniagaan

Dr Yeah berkata rangka tindakan ESG memberi tumpuan ke atas struktur tadbir urus dan kawalan organisasi termasuk aspek percanggahan kepentingan dan ketelusan operasi.

Bersandarkan penelitian bagaimana organisasi dapat mengurus dan menjaga kepentingan para pemegang kepentingannya, pelaksanaan amalan terbaik ESG dapat membantu satu-satu organisasi itu untuk mengelak daripada sebarang percanggahan klonflik dan amalan tidak beretika serta rasuah dalam perniagaan, termasuk melibatkan urusan dengan sektor awam.

Menurutnya, apabila lebih banyak syarikat mengamalkan tadbir urus baik, ini sekali gus dapat menyumbang dari segi meningkatkan tahap tadbir urus, kepercayaan dan integriti negara secara menyeluruh.

“Dari segi tadbir urus, ia sememangnya telah lama wujud. Kita mempunyai badan-badan pengawal selia khusus yang akan melaksanakan mandat kuasa yang diberikan.

“Bagi saya, ini lebih kepada penguatkuasaan undang-undang dan peraturan ini serta melihat hasil yang disasarkan. Ringkasnya, dalam maksud lebih luas, kita boleh menyamakan rasuah ini sebagai satu barah yang boleh menjejaskan dan melumpuhkan ekonomi serta masyarakat.

“Dalam beberapa kajian ekonomi, terdapat kaitan positif antara rasuah dan inflasi. Ini bermakna makin tinggi rasuah, maka makin tinggi juga inflasi. Oleh itu, tindakan mengurus inflasi negara juga berkemungkinan melibatkan usaha memerangi rasuah,” katanya.

Beliau berkata apabila berlaku rasuah, wang yang diperolehi daripada hasil sedemikian adalah tidak produktif dan jika berleluasa, ia akhirnya memasuki kembali sistem ekonomi dalam bentuk perbelanjaan.

“Perbelanjaan sedemikian boleh membawa kepada inflasi. Inilah gambarannya bagaimana rasuah itu boleh menjejaskan ekonomi,” katanya.

Baru-baru ini, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia Transparency International menunjukkan Malaysia mencatat penurunan kepada kedudukan 62 daripada keseluruhan 180 negara tahun lepas dari segi rasuah dalam sektor awam.

Presiden Transparency International Malaysia Dr Muhammad Mohan berkata Malaysia mencatat skor 48 (daripada 100 mata) dalam indeks itu berbanding 51 pada 2020, sekali gus menurun kepada kedudukan 57 daripada 51 pada 2019.

Skala 0 adalah paling rasuah manakala 100 pula paling bersih.

Apa yang pasti, dalam usaha untuk keluar daripada pandemik secara bersama, kita juga harus mengelak daripada sebarang risiko yang boleh menjejaskan negara dan sebaliknya memberi contoh baik kepada generasi baharu ‘Keluarga Malaysia.’

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )