Pelanjutan operasi UTC beri peluang rakyat selesai urusan tertangguh

Pelanjutan operasi UTC beri peluang rakyat selesai urusan tertangguh

SEREMBAN,. Pelanjutan waktu operasi Pusat Transformasi Bandar (UTC) bermula 1 Julai ini dijangka dimanfaatkan sepenuhnya oleh petugas barisan hadapan khususnya untuk menyelesaikan urusan penting berkaitan agensi kerajaan yang tertangguh sebelum ini disebabkan tuntutan tugas.

Seorang daripada mereka, Dr Mohd Hafiz Ahmad, 27, berkata sebelum ini agak sukar untuknya dan rakan-rakan sekerja menyelesaikan urusan terbabit disebabkan tuntutan kerja yang tidak menentu masa.

“Keutamaan saya ialah menyelesaikan urusan-urusan penting ini termasuk berkaitan cukai di Lembaga Hasil Dalam Negeri,” kata doktor pelatih itu kepada Bernama di sini.

Ketika membentangkan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENAJA) pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan bersetuju melanjutkan dan menyeragamkan waktu operasi UTC di seluruh negara, berkuat kuasa 1 Julai ini.

Pelanjutan operasi itu akan menyaksikan UTC beroperasi dari 8 pagi hingga 9 malam setiap hari berbanding 1 tengah hari hingga 10 malam (Isnin hingga Khamis); 2.45 petang hingga 10 malam (Jumaat) dan 8 pagi hingga 5 petang (Sabtu dan Ahad).

Sementara itu, penjawat awam Nurul Ain Ghazali, 36, berkata pelanjutan waktu operasi UTC akan memudahkannya merancang masa bagi menyelesaikan urusan.

“Saya berpendapat langkah kerajaan melanjutkan operasi ini adalah wajar kerana masyarakat boleh hadir menyelesaikan urusan secara berperingkat sehingga malam,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi UDA Holdings Bhd Datuk Jalaluddin Alias menyifatkan pengumuman tersebut menggambarkan perdana menteri memahami denyut nadi rakyat.

Pelanjutan berkenaan juga memberi kelegaan kepada peniaga kecil yang menyewa di dua premis milik UDA yang dijadikan UTC iaitu Angsana Seremban dan Angsana Kuala Lumpur, katanya.

Menurutnya, seiring pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disusuli dengan PKP Bersyarat (PKPB), UDA mengambil langkah proaktif menerusi penawaran diskaun dan pengecualian sewa kepada penyewa lot perniagaan di bawah selian UDA seperti Angsana Johor Bahru Mall, Angsana Ipoh Mall dan Angsana Seremban.

Insentif ini memanfaatkan 1,500 peniaga membabitkan kos RM10 juta.

“Pengecualian sewa diberikan selama sebulan iaitu April 2020 dan diskaun sewa 20 peratus bagi Mei hingga September 2020,” katanya.

— BERNAMA

Oleh Nurfardlina Izzati Moktar

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )