Pelaburan terkumpul aset tetap negara meningkat 2.7 peratus kepada RM5.17 trilion pada 2020 – Perangkaan

Pelaburan terkumpul aset tetap negara meningkat 2.7 peratus kepada RM5.17 trilion pada 2020 – Perangkaan

KUALA LUMPUR,. Pelaburan terkumpul aset tetap Malaysia atau stok modal kasar (SMK), mengembang 2.7 peratus tahun ke tahun kepada RM5.17 trilion pada 2020, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Pada masa yang sama, stok modal bersih (SMB) yang mewakili kekayaan ekonomi Malaysia merekodkan nilai RM3.22 trilion pada tahun lepas.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, SMB tumbuh perlahan pada 1.8 peratus berbanding 3.6 peratus pada tahun sebelumnya.

Beliau menjelaskan sejak dari tahun 2018 sehingga kini, nilai stok modal nasional meningkat secara perlahan berikutan Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) yang semakin menurun.

“Momentum pertumbuhan perlahan stok modal dapat dilihat dengan lebih jelas lagi pada tahun2020, yang mana berlakunya penurunan dua digit dalam PMTK pada 14.5 peratus.

“Ini adalah ekoran daripada pelaburan aset tetap bagi semua aktiviti ekonomi yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan sepanjang tahun lalu berikutan penularan pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Uzir menambah magnitud penurunan ini merupakan yang terburuk telah direkodkan sejak Krisis Kewangan Asia 1998.
Kesan yang sama dalam penyusutan stok modal ini juga boleh dilihat pada ekonomi utama dunia termasuklah Amerika Syarikat, Jepun dan United Kingdom, kata beliau.

Beliau berkata berdasarkan kepada aktiviti ekonomi, stok modal bagi sektor perkhidmatan tumbuhperlahan pada 2.5 peratus berbanding 4.2 peratus pada tahun sebelumnya.

Ini didorong oleh subsektor pengangkutan dan penyimpanan dan maklumat dan komunikasiyang mengembang perlahan pada 0.4 peratus manakala kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan pada 5.8 peratus.

Stok modal bagi sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan marginal sebanyak 0.4 peratus berbanding 3.5 peratus pada tahun 2019, dipengaruhi oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik serta produk elektrik, elektronik dan optikal yang masing-masing meningkat secara perlahan pada 0.8 peratus dan 0.6 peratus, katanya.

Selain itu, produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka turun 0.8 peratus dan produk tekstil dan kayu pula menyusut 2.6 peratus.

Bagi stok modal bagi sektor perlombongan dan pengkuarian, Mohd Uzir berkata stok modal pada tahun 2020 menyusut 0.02 peratus manakala sektor pembinaan merekodkan pertumbuhan 4.3 peratus dan sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.6 peratus.

“Melihat kepada jenis aset, struktur kekal sebagai penyumbang utama kepada stok modal dengan sumbangan sebanyak 80.2 peratus, bersamaan RM2.58 trilion yang disokong oleh struktur lain dan bukankediaman.

“Nilai aset bagi struktur yang jauh lebih besar, ditambah pula dengan jangka hayat yang lebih panjang berbanding aset lain, merupakan faktor utama dominasi struktur dalam nilai keseluruhan aset tetap di Malaysia.

“Ini diikuti oleh jentera dan peralatan dengan sumbangan sebanyak 11.4 peratus iaitu RM368.86 bilion, serta aset lain dengan sumbangan sebanyak 8.4 peratus dan merekodkan RM270.25 bilion,” katanya.

Mohd Uzir menambah komposisi aset Malaysia adalah sama dengan komposisi aset negara-negara lain, termasuklah Korea Selatan dan Singapura.

Merumuskan keseluruhan situasi stok modal pada tahun 2020, beliau berkata prestasi stok modal pada tiga tahun kebelakangan ini semakin merosot, ditambah pula dengan penularan pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan keseluruhan aktiviti ekonomi.

“Keupayaan negara untuk terus berkembang pada masa hadapan bakal terganggu sekiranya kelembapan pertumbuhan pelaburan ini berlanjutan kerana ia akan menimbulkan kesan yang buruk kepada kapasiti pengeluaran.

“Pelaburan aset tetap terutamanya aset yang bercirikan automasi perlu ditingkatkan selaras dengan revolusi industri 4.0 (4IR) supaya negara beralih kepada ekonomi berpendapatan tinggi,” kata Mohd Uzir sambil menambah usaha ke arah pembaharuan ekosistem pelaburan perlu dilaksanakan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )