
PDRM Tegaskan Siasatan Terhadap Hejira Travel Masih Berjalan
Kuala Lumpur, 16 Februari 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa siasatan terhadap Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd masih giat dijalankan, sekali gus menepis dakwaan kononnya pihak berkuasa tidak bertindak dalam kes ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, mendedahkan bahawa sehingga 7 Februari 2025, pihaknya telah menerima 141 laporan polis melibatkan jumlah kerugian mencecah RM3.01 juta.
Menurut Ramli, syarikat pelancongan itu dipercayai menipu jemaah umrah yang telah membuat pembayaran tetapi tidak menerima perkhidmatan seperti dijanjikan.
“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dan beberapa laporan juga telah dirujuk kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kerana mereka bertanggungjawab dalam mengawal selia sektor umrah,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau turut menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan bahawa polis tidak menjalankan siasatan, menyifatkannya sebagai tidak berasas dan memberi persepsi buruk kepada PDRM.
Sementara itu, pada 20 Januari lalu, pasangan suami isteri yang merupakan pemilik Hejira Travel telah ditahan oleh polis Johor selepas dibebaskan dengan jaminan oleh Polis Kontinjen Selangor.