PDRM akan panggil Mohammad Agus sekali lagi ambil keterangan – KPN
KUALA LUMPUR,. Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil sekali lagi bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Mohammad Agus Yusoff untuk dirakam keterangan, susulan video perbualan miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM yang tular sejak petang semalam, telah disunting oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata semalam PDRM telah memanggil Mohammad Agus untuk diambil keterangan.
“Sepatutnya hari ini sambung (rakam keterangan) tetapi beliau (Mohammad Agus) tidak sihat,” katanya ringkas kepada Bernama hari ini.
Razarudin berkata tempat untuk menyambung rakaman percakapan Mohammad Agus akan ditentukan kemudian.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu bergelar ‘Mr H’ yang dikaitkan dengan kes berkenaan.
“Siasatan kes ini masih dijalankan bagi mengenal pasti individu berkenaan seperti yang turut dikaitkan dalam kes itu,” katanya.
Terdahulu, tular menerusi media sosial video berdurasi tiga minit memaparkan perbualan secara dalam talian antara lelaki didakwa mirip Mohammad Agus dengan seorang individu lain.
Mohammad Agus pada sidang medianya semalam di sebuah hotel di Bangi dekat sini, mendakwa video itu disunting dan telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
— BERNAMA