PDRM akan naikkan elaun 70 pegawai rendah polis

PDRM akan naikkan elaun 70 pegawai rendah polis

KUALA LUMPUR,. Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menaikkan elaun sebanyak RM300 sebulan kepada 70 pegawai rendah polis yang dikenal pasti, untuk menjadi detektif Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman.

Pengarah JIPS Datuk Zamri Yahya berkata, perkara berkenaan telah diserahkan kepada pihak Jabatan Pengurusan PDRM, untuk dirujuk kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Perkara ini (pemberian elaun), Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador) telah bersetuju dan PDRM sedang menunggu keputusan KDN dan JPA, sebelum meluluskannya.

“Selain itu, pemberian elaun sebulan RM300 kepada pegawai rendah polis ini adalah sebagai insentif motivasi, kerana mereka perlu menyiasat banyak kes JIPS,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri program Sinar Aidiladha Bank Rakyat di Masjid Bukit Aman, di sini.

Zamri berkata, walaupun mereka ini belum menerima elaun berkenaan, tetapi kerja-kerja penyiasatan kes JIPS diteruskan seperti biasa.

“Sebelum mereka ini dinaik taraf sebagai detektif, mereka perlu menjalani latihan dan kursus peralihan detektif selama tiga bulan,” katanya.

Pada 13 Julai lepas, Bernama melaporkan 70 pegawai rendah polis daripada JIPS Bukit Aman, akan dinaik taraf menjadi detektif untuk membolehkan mereka menyiasat pegawai dan anggota polis yang terlibat salah laku.

Elaun siasatan itu diberikan sebagai motivasi, kerana kerja mereka adalah untuk menyiasat mana-mana anggota atau pegawai polis, yang melakukan salah laku.

Terdahulu, dalam program itu, Bank Rakyat telah meraikan 1,830 petugas barisan hadapan dan golongan asnaf, menerusi pengagihan daging korban sempena sambutan Aidiladha dalam norma baharu. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )