
PBB Pindahkan Kakitangan dari Goma Susulan Peningkatan Pertempuran di Timur Congo
26/01/2025 18:30 MYT, / JOHANNESBURG: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Sabtu mengumumkan pemindahan sementara kakitangan yang tidak terlibat secara langsung dari Goma, timur Congo, berikutan peningkatan ketegangan keselamatan di wilayah Kivu Utara, lapor Agensi Anadolu (AA).
Menurut PBB, tindakan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga untuk melindungi keselamatan kakitangan, sambil memastikan operasi penting di rantau tersebut terus berjalan tanpa gangguan.
Kumpulan pemberontak M23, yang didakwa menerima sokongan dari Rwanda, baru-baru ini meningkatkan serangan mereka di timur Congo, menguasai beberapa bandar utama. Mereka dilaporkan sedang mara ke arah Goma, ibu kota Kivu Utara.
Presiden Rwanda, Paul Kagame, bagaimanapun, menafikan tuduhan tersebut.
Pada Jumaat, pihak berkuasa Congo mengumumkan kematian gabenor tentera wilayah Kivu Utara, Mej Jen Peter Cirimwami, yang meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya semasa bertempur di barisan hadapan.
Kumpulan M23 menyatakan bahawa perjuangan mereka adalah untuk mempertahankan hak minoriti Tutsi Congo, yang mendakwa mereka telah dianiaya di Congo kerana hubungan etnik mereka dengan komuniti Tutsi di Rwanda.
PBB menjelaskan bahawa kakitangan penting akan tetap berada di Goma untuk memastikan kelangsungan operasi kritikal seperti pengagihan bantuan makanan, perubatan, penyediaan tempat perlindungan, serta perlindungan kepada komuniti yang terdedah.
Sejak pertempuran antara tentera Congo dan pemberontak M23 meningkat pada akhir tahun lalu, puluhan ribu penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka di timur Congo.
Awal minggu ini, enam anggota tentera dari dua negara Afrika yang menyertai misi pengaman di Congo terkorban dalam pertempuran berasingan dengan M23.
Mej Emmanuel Mlelemba, jurucakap Pasukan Pertahanan Malawi (MDF), mengesahkan tiga anggota tentera Malawi terkorban pada Jumaat selepas diserang hendap oleh kumpulan pemberontak tersebut.
Dalam insiden lain, “South African National Defence Union” mengesahkan bahawa tiga anggotanya terbunuh dan 14 yang lain cedera dalam pertempuran dengan M23 pada Sabtu. Peristiwa ini berlaku semasa Menteri Pertahanan Afrika Selatan, Angie Motshekga, sedang melakukan lawatan ke Congo.