Pasca COVID-19: Penggunaan teknologi dalam perkhidmatan awam dipertimbang – KSN

Pasca COVID-19: Penggunaan teknologi dalam perkhidmatan awam dipertimbang – KSN

KUALA LUMPUR,. Penggunaan teknologi dalam perkhidmatan awam yang kini menjadi normal baharu ketika negara berhadapan wabak COVID-19 boleh dipertimbang untuk dipraktikkan pasca pandemik itu.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkata penggunaan teknologi seperti mesyuarat melalui sidang video telah diperkenalkan dalam sektor kerajaan sebelum ini, namun kini ia digunakan sepenuhnya dan banyak memberikan manfaat ketika wabak COVID-19.

“Dulu kita tidak terfikir tentang keperluan bekerja dari rumah atau mesyuarat secara maya, walaupun telah lama wujud; jadi kita jangan sia-siakan peluang yang ada ini, supaya normal baharu ini dapat membantu kita untuk memastikan kelancaran dan khidmat kepada masyarakat tidak terganggu.

“Kerajaan boleh mempertimbangkan penggunaan teknologi ini selepas tamatnya COVID-19 supaya boleh menjimatkan lagi peruntukan membina ruang pejabat yang baharu dan tidak memerlukan kos peralatan yang tinggi oleh kerana memerlukan sedikit pegawai untuk hadir ke pejabat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam program Bicara Naratif Bersama KSN: Norma Baharu yang disiarkan di TV1 RTM, Khamis malam.

Dalam pada itu, Mohd Zuki berkata sektor awam perlu menjadi contoh kepada sektor swasta dalam mengikuti garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kalau kita tidak dapat memberikan teladan yang baik, bagaimana kita nak pastikan orang lain mengikut apa yang kita laksanakan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )