Pasaran pekerjaan negara bertambah baik – Menteri

Pasaran pekerjaan negara bertambah baik – Menteri

KUALA LUMPUR,. Situasi tenaga buruh di Malaysia dijangka bertambah baik dalam jangka masa pendek iaitu bagi Jun tahun ini dan akan terus mengukuh dalam tempoh sederhana sehingga separuh kedua 2020.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata perkara itu terbukti apabila Jabatan Perangkaan mendapati sehingga 2 Jun lalu, kira-kira 12.7 juta (83.5 peratus) pekerja sudah mula bekerja berbanding 10.2 juta (67.2 peratus) pekerja pada 17 Mei lalu.

Saravanan berkata, ia adalah hasil pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan oleh kerajaan bagi mencapai sasaran tertentu, selain lebih banyak perniagaan yang dibenarkan beroperasi selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Mei yang menyumbang kepada penurunan bilangan penganggur.

“Selain itu, selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mula berkuat kuasa pada 10 Jun lalu, keadaan ekonomi sudah memperoleh kembali momentum.

“Ini seterusnya dijangka dapat mengekalkan pekerjaan, mewujudkan pekerjaan baharu dan mendorong pengambilan pekerja,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) berhubung unjuran kadar pengangguran negara dan anggaran jumlah penduduk yang menganggur sehingga akhir tahun, selain langkah yang diambil kementerian dalam mengatasi lonjakan kenaikan kadar pengangguran terkini.

Saravanan berkata, berdasarkan Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran negara meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei lalu, berbanding lima peratus pada April, selain menganggarkan julat maksimum kadar pengangguran adalah antara 3.5 peratus dan 5.5 peratus pada tahun ini.

Beliau berkata kerajaan menyedari beban yang dihadapi rakyat dan melaksanakan pakej rangsangan ekonomi seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PRIHATIN Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan yang berjaya menyelamatkan lebih 2.4 juta pekerjaan, mengurangkan beban aliran tunai hampir 11 juta rakyat dan memberi sokongan kepada lebih 300,000 syarikat.

Bagi mengelakkan pemberhentian pekerja secara besar-besaran dan memastikan daya tahan majikan terus kekal, kerajaan katanya memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), yang mana kementeriannya terbabit dalam lima inisiatif memperkasa rakyat melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).

“Selain itu, satu jawatankuasa peringkat kebangsaan iaitu Jawatankuasa Khas Pekerjaan Nasional (JKPN) diwujudkan di bawah PENJANA yang dipertanggungjawabkan menyelaras dan memantau pelaksanaan inisiatif PENJANA berkaitan sumber manusia.

“Inisiatif berkenaan adalah Program Subsidi Upah, Menaik Taraf Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara, Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan, Perlindungan Sosial dan Latihan bagi Pekerja Ekonomi Gig serta Insentif Pengaturan Kerja Fleksibel.

Menjawab soalan tambahan Anwar sama ada statistik berhubung kadar pengangguran itu realistik kerana tinjauan yang dilakukan terbatas dan dikatakan tidak mengambil kira mereka yang diberikan cuti tanpa gaji, Saravanan berkata jumlah berkenaan realistik dan mengambil kira keadaan sebenar.

“Mungkin apabila sampai masanya, angka (pengangguran) lebih kurang kerana kita sudah memerangi COVID-19 lebih awal daripada yang dijangka,” katanya.

Menjawab soalan Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) sama ada kementerian dapat memastikan projek mega negara hanya mengambil pekerja tempatan, Saravanan berkata, kementeriannya sudah mengumumkan pekerja asing tidak akan dibawa masuk sehingga hujung tahun ini bagi sektor tertentu, sekali gus memberi ruang kepada pekerja tempatan untuk mendapat pekerjaan.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )